VVIP DENAI CINTA

09 Ogos 2012

Selamat Tinggal Peterpan - Kini NOAH



Wartawan Sinar Harian 9 Ogos 2012

 Ariel bersama anggota asal Peterpan.


Inilah anggota baru Noah yang masih mengekalkan ahli Peterpan.


Meskipun vokalis kumpulan sensasi Indonesia, Peterpan punya titik hitam dalam kariernya, namun perjalanan seni anak muda itu masih belum malap. Selepas dibebaskan dari penjara Kebon Waru, Bandung pada 23 Julai lalu, Ariel ternyata beruntung kerana masih diterima oleh teman seangkatannya dalam kumpulan Peterpan. Bagaimanapun, nama kumpulan terkenal ini sudah pun diumumkan berkubur dan digantikan dengan nama kumpulan baru. 


Masih lagi mengekalkan ahli kumpulan yang sama; Ariel, Lukman, Uki, Reza dan David, kumpulan ini secara rasminya mengumumkan nama band baru mereka melalui Twitter sebelum mengadakan sidang akhbar khas bagi memberitahu hal tersebut. 

Tanggal 2 Ogos yang lalu, secara rasminya kumpulan yang terkenal dengan lagu Mungkin Nanti dan Ada Apa Denganmu ini mengumumkan nama band baru mereka, Noah bagi menggantikan Peterpan. 

Memilih nama baru sebagai pengganti nama Peterpan yang sebelum ini sedikit terpalit dengan berita kontroversi Ariel, keempat-empat anggota kumpulan ini sepakat melupakan titik hitam vokalis mereka itu. Malah, menurut Ariel, nama Noah telah pun dibincangkan sejak dua tahun lalu dan dirahsiakan sehingga hari pengumuman mereka pada Khamis lalu. 

"Kami tidak pernah mendedahkan nama baru kumpulan kami kepada umum walaupun di kalangan rakan rapat dan saudara mara kami sendiri. Kami setuju dengan pilihan nama Noah yang kami rasakan mudah disebut dan diingati," katanya memetik kenyataan di Kompas.com semasa sidang media di pejabat Musica Studio, Jakarta Selatan. 

Sementara itu, pemilik nama sebenar Nazriel Irham ini memberitahu, Noah telah pun melancarkan single pertama pada Jumaat lalu berjudul Separuh Aku yang dicipta oleh ahli kumpulan mereka, David. 

Tidak sempat berehat 

Mengulas mengenai perjalanan muzik Noah, bekas kekasih Luna Maya ini berkata, mereka bakal muncul dengan album baru yang dijangka bakal keluar tidak lama lagi. Mengakui selepas keluar dari penjara, aktivitinya banyak ditumpukan kepada urusan mengumpul material untuk album Noah, Ariel mendedahkan dirinya tidak mempunyai rehat yang cukup. 

"Sepanjang Ramadan ini, masa saya banyak diperuntukkan untuk Noah kerana kami akan melancarkan album pertama Noah sedikit masa lagi. Selain itu, saya juga sibuk menulis buku mengenai perjalanan diri saya bersama teman-teman Peterpan yang dulu," ujarnya. 

Sementara itu, Uki pula berkata, album tersebut sebenarnya telah lama disiapkan dan sepatutnya dilancarkan pada 2010, namun atas sebab penahanan Ariel membuatkan pelancaran album itu ditunda. 

"Masih ada lagi material yang harus dikumpulkan. Biarpun album ini telah lama siap, namun kami bercadang untuk mengemas kini semula album ini. Setakat ini, sudah 80 peratus siap dan kami sedang menunggu dua lagi lagu baru," katanya. 

Dalam pada itu, gitaris Noah, Lukman berkata, mereka juga masih mencari sistem bunyi yang bagus untuk album mereka itu. "Dalam setiap rakaman album, perkara yang paling sukar ialah mencari sistem bunyi yang terbaik untuk lagu. Jadi, kami perlu mengambil sedikit masa untuk proses tersebut," katanya.

Persembahan pertama bulan depan? 

Meskipun telah muncul dengan single pertama mereka, namun kumpulan ini masih belum bersedia untuk membuat persembahan secara langsung di hadapan peminat. Menyasarkan bakal mengadakan persembahan pertama bersama Noah pada September ini, Ariel berkata, mereka masih lagi mencari tarikh sesuai untuk membuat persembahan bersama. 

"Kemungkinan besar, persembahan pertama bersama Noah ialah semasa pelancaran album kami. Rasanya mungkin September ini, lihatlah dulu bagaimana jadual kami nanti," katanya. Mengulas mengenai pemain bass yang telah lama ditinggalkan posisi tersebut oleh Indra, Ariel berkata, Noah setakat ini tidak bercadang untuk mencari pemain bass tetap. 

"Proses mencari seorang yang benarbenar layak agak sukar. Kami cenderung memilih seseorang yang berkebolehan besar, bukan setakat pandai bermain bass sahaja tetapi turut menyalurkan idea kepada kumpulan," katanya yang mengakui komitmen David begitu baik sehingga membuatkan mereka bersetuju menyerap David menyertai Noah.

1 ulasan:

Puteri Lindungan Bulan berkata...

Uikks...baru tau ni gue~~ Peterpan=Noah

Related Posts with Thumbnails