VVIP DENAI CINTA

19 Mac 2012

Maghribi Digesa Mansuh Akta Perogol Kahwin Mangsa

RABAT : Beratus aktivis wanita Maghribi mengadakan demonstrasi di luar bangunan Parlimen menuntut agar dimansuhkan undang-undang berkaitan keganasan seks. Kanun Keseksaan negara itu membenarkan penjenayah kes rogol berkahwin dengan mangsa jika mangsa seorang bawah umur bagi mengelakkan pendakwaan di mahkamah. Seorang mangsa, Amina Filali, 16, membunuh diri seminggu yang lalu selepas dipukul dengan teruk ketika dipaksa berkahwin dengan lelaki yang merogolnya.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk berbunyi "undang-undang telah membunuh Amina".
Ibu bapa Amina Filali menyertai tunjuk perasaan, lapor BBC hari ini. Mereka mendakwa anak perempuan mereka dikenakan tekanan oleh mahkamah tempatan agar berkahwin dengan perogol, yang kemudian menganiaya dia. Dia mati selepas mengambil racun tikus pada 10 Mac lalu.

Kes membabitkan remaja itu mengejutkan banyak pihak di Maghribi.
Laporan BBC juga menyebut, kumpulan hak asasi wanita telah memulakan kempen atas talian menggesa Seksyen 475 Kanun Keseksaan dimansuhkan. Akaun laman sosial Facebook atas nama "Kami semua Amina Filali" juga telah dimulakan.

Presiden Liga Hak Asasi Wanita,
Fouzia Assouli berkata, pemansuhan peruntukkan itu satu langkah ke depan dalam persekitaran sikap konservatif yang semakin berubah. Bagaimanapun, peserta protes kecewa kerana kurang respons daripada kerajaan dan mereka marah dengan Menteri Kehakiman kerana enggan mengadakan inkuiri berhubung kematian Amina, yang tinggal di bandar kecil Larache dekat Tangiers.

Mereka juga mahu hak asasi wanita dihormati, bukan dilanggar.
"Apa yang kita telah saksikan adalah skandal. Kita sudah hadapi banyak kes. Kita mesti meminda Kanun Keseksaan," kata Presiden Liga Demokratik Bagi Hak Asasi Wanita, Fouzia Assouli.

Di kawasan-kawasan konservatif seperti yang keluarga Amina tinggal, situasi budak perempuan hilang dara sebelum kahwin tidak boleh diterima dan dianggap sebagai penghinaan ke atas maruah keluarga meskipun mangsa dirogol, kata laporan BBC.
Had kelayakan minimum untuk berkahwin di bawah undang-undang Maghribi adalah 18 tahun kecuali dalam kes-kes tertentu, seperti kes Amina, berkahwin meskipun dia bawah umur.

Seorang hakim hanya boleh membuat syor jika semua pihak yang terlibat bersetuju.
Bagaimanapun aktivis mendakwa dalam kebanyakan masa tekanan dikenakan ke atas keluarga mangsa bagi mengelakkan persepsi skandal.

Bapa Amina berkata, apabila dia membuat aduan mengenai kes anaknya dirogol, dia telah dinasihatkan tentang opsyen agar berkahwin oleh pegawai-pegawai mahkamah.
"Pendakwa menasihatkan anak perempuan saya agar berkahwin," kata Lahcen Filali kepada akhbar atas talian, goud.ma.

Aktivis juga mahu hakim yang membenarkan perkahwinan dan perogol dalam kes Amina dikenakan hukuman penjara
. - SINAR HARIAN

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails