VVIP DENAI CINTA

21 Mac 2012

Henti Tayang Cerita Hantu Kerana Bertentangan Dengan Islam - Kemala

KUALA LUMPUR 20 Mac : Tayangan filem, drama dan cerita yang berelemenkan hantu puaka dan jembalang pelesit harus dihentikan kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam dan meracuni pemikiran anak-anak bangsa. Sasterawan Negara Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama penanya Kemala, berkata tindakan itu perlu kerana tayangan cerita sebegini hanya akan terus melemahkan akal budi bangsa, jati diri, ketahanan sahsiah serta ketahanan mental seseorang khususnya generasi muda.

Katanya drama atau cerita-cerita genre sedemikian sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan lagi dalam konteks zaman moden kini. "Mengapakah drama-drama atau cerita kita harus terus dimasukkan dengan elemen hantu-hantu puaka? Tak usahlah meracuni pemikiran anak-anak bangsa kita dengan cerita-cerita sebegini."

"Ke manakah hala tuju bangsa kita jika keadaan ini berlarutan? Semua ini akan disoal jawab oleh tuhan di akhirat nanti," katanya ketika ditemu ramah dalam program 'Dalam Radar' terbitan Bernama Radio24 di sini semalam.

Kemala juga mencadangkan supaya pemimpin politik mengadakan pertemuan dengan Sasterawan negara bagi mengimarahkan peranan tokoh-tokoh sasterawan negara yang telah banyak berjasa kepada dunia kesusasteraan tanah air. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails