VVIP DENAI CINTA

14 Jun 2011

Rumah RM5.55 Juta Tapi Khir Toyo Beli Dengan Harga Hanya RM3.5 Juta!!!

Nilai Pasaran Rumah Dr Khir Semasa Dibeli Adalah RM5.55 Juta
SHAH ALAM, 14 Jun : Seorang pengarah penilai hartanah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini Selasa bahawa nilai pasaran ketika dua lot tanah dan sebuah banglo di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, di sini, dibeli bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, bernilai RM5.55 juta.

Pengarah Penilai Hartanah di syarikat perunding aset antarabangsa, Henry Butcher Malaysia, Long Tian Chek, 54, berkata nilai pasaran berkenaan dibuatnya berdasarkan kepada laporan penilaian yang dibuat satu lagi firma penilaian, Rahim & Co, yang dibekalkan kepadanya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009.

Katanya beliau diminta suruhanjaya itu membuat penilaian terhadap harta pasaran hartanah berkenaan pada 31 Julai 2009 untuk melihat berapa nilai pasaran hartanah berkenaan pada 14 Mei 2007.

"Saya diminta untuk berbuat demikian pada sekitar 31 Julai 2009 dan permintaan melibatkan penilaian nilai hartanah pada tarikh 14 Mei 2007," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar di Mahkamah Tinggi di sini.

Long, yang juga saksi pendakwaan kelapan, memberi keterangan pada hari kelima perbicaraan kes terhadap Dr Mohamad Khir yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 di sini
diperoleh dengan harga RM3.5 juta
sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004
dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu. Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Menjawab soalan Mohd Dusuki, Long memberitahu nilai RM5.5 juta itu diperolehnya menerusi kaedah perbandingan iaitu dengan mengambil kira contoh empat lot banglo di Seksyen 7 termasuk tiga yang dijual pada tahun 2007. "Kami menggunakan empat perbandingan lot banglo kosong yang kesemuanya berada di Seksyen 7. Tiga daripadanya (yang dijual pada 2007) dan satu (yang dijual pada) 2009," katanya.

Long memberitahu mahkamah, beliau juga menggunakan maklumat perbandingan berdasarkan laporan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada 2007. "Lot tanah dinilaikan sebagai RM2.35 juta dan bangunan dinilaikan pada RM3.2 juta. Jumlah keseluruhan nilai pasaran adalah RM5.55 juta," katanya.

Terdahulu, seorang penolong pegawai penilaian memberitahu bahawa Dr Mohamad Khir membeli dua lot tanah termasuk sebuah rumah di Jalan Suasa 7/1L di Seksyen 7 di sini daripada Shamsuddin pada harga RM3.5 juta berbanding harga yang dinilai olehnya iaitu RM4.8 juta.

Noor Faiza Zainuddin, 48, yang bertugas di Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta di Shah Alam berkata lot 8 yang mempunyai sebuah banglo dinilai pada harga RM3.9 juta manakala tanah kosong di lot 10 dinilai pada harga RM918,000.

"Lot 8 yang mempunyai sebuah rumah ditaksirkan bernilai RM3.9 juta tetapi dijual kepada Dr Khir pada harga RM2.9 juta. Lot 10 yang kosong ditaksirkan berharga RM918,000 tetapi dijual pada harga RM600,000 dalam urusniaga berkenaan.

Noor Faiza bertanggungjawab bagi menentukan nilai kedua-dua plot tanah berkenaan pada urusniaga yang dijalankan pada 2007 itu. Katanya beliau pernah menanyakan kepada pemilik tanah berkenaan (Shamsuddin) mengapa harga jualan sebegitu rendah ketika beliau melawat hartanah itu. "Dia (Shamsuddin) bagi tahu saya dia ada masalah dan (terpaksa) jual tanah di bawah nilai harga pasaran," katanya ketika disoal oleh Mohd Dusuki.

Semalam, Shamsuddin pada keterangannya berkata beliau tidak mempunyai pilihan lain selain menjual dua lot tanah termasuk sebuah rumah banglo di Jalan Suasa 7/1L di sini pada harga RM3.5 juta kepada Dr Mohamad Khir pada 2007 sebab khuatir dengan kedudukan projek perumahannya di Selangor.

Dr Mohamad Khir diwakili peguam Adzly Abd Manas dan Kamarul Hisham Kamaruddin. Perbicaraan di hadapan hakim Mohtaruddin Baki bersambung esok. - Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails