VVIP DENAI CINTA

17 Jun 2011

BERSIH 2.0 : KITA BUKAN LAWAN POLIS

"Pihak polis memang ada kuasa, mereka boleh buat apa sahaja pada rakyat, kita bukan melawan pihak polis dan tiada niat untuk melawan, tetapi kita hanya melawan sistem pilihanraya yang kotor," Mohamad Sabu.
KITA LAWAN SISTEM PILIHANRAYA KOTOR, BUKAN POLIS
JASIN, 17 Jun : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) menggesa polis Malaysia supaya segera berubah dan kembali kepada peranan sebenar sebagaimana polis di negara lain termasuk Eropah dan Indonesia. "Sikap pihak polis di Malaysia sangat berbeza jika dibandingkan dengan sikap polis di negara lain dengan mengambil contoh di indonesia, di mana ketua polis Jakarta di sana akan membenarkan mana-mana pihak mengadakan demonstrasi aman dan para demonstran akan dilindungi dan perjalanan demonstrasi itu dikawal pihak polis."

Beliau berkata demikian pada ceramah pelancaran Bersih 2.0 peringkat negeri Melaka di Dataran Hamas, Kompleks PAS Jasin di sini malam tadi. Begitu juga, katanya di negara-negara Eropah yang mana hampir setiap minggu rakyatnya termasuk pelajar-pelajar akan mengadakan himpunan aman dan pihak polis memberikan kebenaran dan mengawal keadaan sehingga tamat himpunan tersebut.

Baginya, kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang dilaporkan berkata, pihak polis akan membuat tangkapan terhadap mana-mana mereka yang menyertai himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai nanti sebagai suatu fenomena pelik di sebuah negara demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

"Pihak polis memang ada kuasa, mereka boleh buat apa sahaja pada rakyat, kita bukan melawan pihak polis dan tiada niat untuk melawan, tetapi kita hanya melawan sistem pilihanraya yang kotor," ujarnya.

Beliau berkata, penganjur himpunan aman Bersih 2.0 tidak akan gentar dengan ugutan dan amaran pihak polis yang jelas tidak peka kepada hasrat dan kehendak rakyat yang mahukan pilihan raya yang telus, bersih dan adil. Menurutnya, PAS sendiri akan mengarahkan seluruh ahlinya supaya hadir pada himpunan aman tersebut di mana kira-kira 300,000 ahli PAS dijangka akan mengambil bahagian pada 9 Julai ini.

Turut berceramah pada program tersebut termasuk Pesuruhjaya PAS negeri, Adly Zahari, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin dan Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San; Ketua Pemuda PAS negeri, Yuhaizad Abdullah dan Yang Dipertua PAS Jasin, Kamarudin Sidek. - Harakahdaily

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails