VVIP DENAI CINTA

16 April 2011

Muka Digigit Kera - Bayi Terima 30 Jahitan

MELAKA : "Saya cekak tengkuk kera itu sekuat hati, baru haiwan itu lepaskan gigitan terhadap bayi yang saya jaga," kata Rokiah Abd Rahman, 59, menceritakan detik cemas menyelamatkan bayi berusia setahun tiga bulan yang diserang seekor kera, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi di rumahnya di Kampung Kilang Berapi, Merlimau, dekat sini, tindakan berani warga emas itu berjaya menghalang haiwan liar berkenaan daripada terus menggigit dan mencakar muka Siti Hajar Abd Razak. Bagaimanapun, Sti Hajar cedera agak serius dan menerima hampir 30 jahitan di mukanya akibat digigit haiwan liar itu.

Rokiah berkata, ketika kejadian dia baru saja menidurkan Siti Hajar di kerusi buaian di bahagian tengah rumahnya selepas menutup semua tingkap dan pintu. "Ketika menidurkan Siti Hajar, saya terlelap dengan berbaring di sisinya sambil tangan kanan diletakkan di badannya."


"Bagaimanapun, kira-kira 15 minit kemudian, saya tersentak apabila mendengar Siti Hajar menangis dengan kuat dan pada masa sama, saya berasa teramat sakit di tangan kanan. Apabila membuka mata, saya terkejut apabila mendapati seekor kera menggigit muka Siti Hajar. Melihatkan keadaan itu, saya menarik badan kera terbabit supaya dia melepaskan gigitan di muka Siti Hajar, tetapi ia enggan melepaskannya."

Saya memberanikan diri mencekak tengkuk haiwan liar itu, baru ia melepaskan gigitan,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Melaka, di sini, semalam. Menurut Rokiah, walaupun dalam keadaan sakit yang teramat sangat dengan tangan kanan berlumuran darah kerana digigit kera itu, dia terus menarik kera terbabit.


"Ketika itu, saya melihat muka Siti Hajar berlumuran darah dan dia menangis akibat kesakitan. Anak jiran saya yang mendengar bunyi bising dalam rumah masuk untuk memberi bantuan. Dia yang terkejut melihat kami berlumuran darah mencengkam kera itu sebelum memijaknya dan mencampaknya ke luar," katanya.

Menurutnya, dengan bantuan jiran, dia menghantar Siti Hajar ke Klinik Kesihatan Merlimau sebelum kedua-dua mereka dirujuk di Hospital Melaka. "Saya jarang melihat kumpulan kera berada di kawasan kampung ini, tambahan pula rumah saya terletak di laluan sibuk dan hampir dengan kawasan kilang."

"Mungkin kera terbabit masuk ke rumah saya menerusi bahagian bumbung yang tidak mempunyai siling," katanya yang menjaga Siti Hajar sejak setahun lalu. Dalam pada itu, Rokiah juga amat bersyukur kerana seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dijaganya dan tidur di dalam bilik tidak diserang haiwan terbabit. Ibu tunggal kepada tiga anak itu cedera pada tangan kanan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Roslan Ahmad melawat Rokiah dan Siti Hajar, semalam. Sementara itu, ibu Siti Hajar, Hazilah Mohamad, 33, berkata ketika kejadian dia bertugas di Politeknik Merlimau, apabila dihubungi anak Rokiah yang memaklumkan kejadian itu.

Katanya, dia menggigil apabila dimaklumkan berita itu kerana menyangka anaknya demam teruk. Dia menghubungi suaminya, Abd Razak Bakar, 33, dan mereka bergegas ke Poliklinik Merlimau. "Anak saya cedera di dahi, hidung, bibir, gusi dan tangan kiri, namun saya dan suami bersyukur kerana Siti Hajar selamat menjalani pembedahan selama dua jam bermula jam 10.30 malam tadi (kelmarin)," katanya.

Roslan berkata, dia akan meminta pihak Jabatan Perhilitan negeri segera melakukan pemantauan di kawasan kampung berkenaan bagi menangkap kera itu.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails