VVIP DENAI CINTA

21 April 2011

MAYAT ISTERI DALAM ALMARI - SUAMI LAKUKAN SEKS BERSAMA KEKASIH

APABILA SAKSI HILANG
myMetro
P
IHAK pendakwa menampilkan 16 saksi termasuk seorang yang memberikan keterangan 'menggemparkan' dengan keyakinan untuk mendapatkan pensabitan. Namun, mahkamah memutuskan rantaian bukti yang dikemukakan tempang tanpa keterangan seorang saksi disifatkan amat penting yang gagal ditampilkan pendakwa untuk mencipta prima facie kes.

Kesudahannya menyaksikan mahkamah tidak mempunyai pilihan melainkan menghadiahkan keraguan munasabah kepada tertuduh Mohafri Mohamed, 39, dengan melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan membunuh isterinya di rumah mereka di Taman Pinggiran Ukay, Ampang, kira-kira dua tahun lalu.

Tidak bersalah bunuh isteri?

Lebih dikenali sebagai perbicaraan ‘mayat dalam almari’, kes berkenaan menarik perhatian ramai apabila pendakwa berusaha membuktikan apa yang berlaku adalah JENAYAH ASMARA dengan Mohafri menamatkan hayat isterinya, Fazlina Ahmad, 39, untuk hidup bersama kekasihnya. Malah, pendakwa 'menaikkan' kekasih Mohafri ke kandang saksi untuk memberikan keterangan terhadap tertuduh.

Dan keterangan yang diberikan wanita (kekasih tertuduh) itu membuatkan ramai terkejut!!! Mayat Fazlina, ibu kepada dua anak dan seorang eksekutif swasta, ditemui pembantu rumahnya pada bahagian bawah sebuah almari pakaian di dalam bilik tidur utama di kediaman itu pada 30 Disember 2009.

Mangsa yang merupakan seorang penghidap lelah kronik dibalut dengan kain selimut tebal. Hidung dan mulutnya pula dipasang dengan pita pelekat. Mohafri yang menghilangkan diri selepas penemuan mayat itu, ditahan di Zoo Negara tiga hari kemudian selepas satu operasi pencarian besar-besaran dilancarkan oleh polis.

D
ia yang merupakan seorang pengurus syarikat katering dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam dan dikenakan pertuduhan membunuh isterinya di rumah bernombor 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, di antara jam 5 pagi dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009. Bagi kesalahan itu Mohafri didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Daripada 16 saksi itu, dua orang memberikan keterangan utama dalam memperkukuhkan kes pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rasidah Abu Bakar.

Pertama rakan rapat mangsa, Safiyaton Omar, 39, dan kedua kekasih tertuduh, Nazratul Anis Zainal Abidin, 23. Saksi yang gagal dikemukakan untuk memantap pertuduhan sekali gus membawa kepada pelepasan Mohafri ialah pembantu rumah yang menemui mayat mangsa yang hanya dikenali sebagai Yayok.

Safiyaton yang tampil sebagai saksi pertama memberitahu mahkamah pada hari kejadian dia menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada Yayok memaklumkan dia dilarang oleh Mohafri memasuki bilik tidur utama.

Yayok
juga, kata saksi, memberitahu dia turut diminta jangan menyapu atau mop bilik tidur utama dengan alasan almari di situ nak roboh. Safiyaton bertindak membuat laporan polis selepas berjumpa dengan tertuduh pada hari sama dan mengesyaki lelaki itu cuba menyembunyikan sesuatu.

"Saya membuat laporan polis berasaskan maklumat Yayok bahawa dia masuk ke dalam bilik tidur utama dan melihat almarinya sudah ditampal dengan pita pelekat. Yayok juga ada memberitahu Mohafri pernah berpesan bahawa apa-apa yang berlaku di rumah itu adalah antara dia dan isterinya. Yayok diminta tidak masuk campur," katanya.

Nazratul pula terus terang mengakui di mahkamah dia melakukan hubungan seks bersama tertuduh di bilik tidur utama tanpa mengetahui mayat Fazlina tersumbat di dalam almari. "Pada mulanya saya tidak mahu, tetapi tertuduh kata sekejap sahaja," katanya.

Sebelum itu, katanya, Mohafri datang menjemput dan membawa dia pulang ke rumahnya. Saksi itu turut memberitahu dia mula mengenali tertuduh ketika mereka bekerja bersama di sebuah pusat perubatan pada 2009.

Pada hari kejadian, mahkamah diberitahu Mohafri dan Nazratul merancang untuk ke sempadan Thailand bagi bernikah dan untuk itu Nazratul datang ke ibu kota dari Parit Buntar, Perak untuk berjumpa dengan tertuduh. Mereka bercadang untuk ke negara jiran itu dengan menaiki kereta api.

Nazratul berkata mereka membuat keputusan untuk berkahwin secara rahsia kerana hubungan yang dijalin tidak direstui bapanya. "Saya dan tertuduh menaiki teksi untuk ke KL Sentral kerana kereta api kami bertolak pada jam 8.15 malam. Sepanjang perjalanan, saya nampak tertuduh sibuk bercakap di telefon bimbit. Saya tanya apa kaitan dia dengan Fazlina kerana mereka dah bercerai."

"Dia jawab 'dia orang' yang desak dia untuk buat laporan. Tapi saya tidak tahu siapa yang dimaksudkan dengan 'dia orang'," katanya. Nazratul kemudian ditinggalkan tertuduh yang memintanya pulang semula ke Kuala Lumpur secara bersendirian. Namun saksi pergi ke rumah tertuduh dan melihat kediaman itu dikepung polis dan dia dimaklumkan ada kes suami bunuh isteri lalu membuat laporan polis.

Kakak mangsa, Faezah Ahmad pula memberi keterangan dia diberitahu oleh mangsa bahawa dia menghadapi masalah rumah tangga disebabkan orang ketiga dan mereka hendak bercerai. Pendakwa turut menampilkan keterangan perubatan untuk membuktikan Fazlina tidak mati akibat penyakit asma kronik yang dihidapinya.

Dr Khairul Anuar Zainun dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberitahu mahkamah mangsa maut disebabkan kelemasan. "Ramai orang menghidap asma, tetapi untuk mati akibat asma, biasanya ada tanda-tanda tertentu yang dijumpai ketika bedah siasat. Saya tidak menjumpai tanda-tanda ini," katanya.

Berdasarkan keterangan ketiga-tiga saksi terbabit pendakwa mengasaskan motif dan membuktikan Fazlina sememangnya dibunuh. Begitupun, ketiadaan keterangan Yayok yang berada di tempat kejadian sewaktu pembunuhan dilaporkan berlaku jelas menyebabkan kes pendakwa bocor.

Dan itu yang menjadi alasan tunjang Hakim Datuk Mohtarudin Baki dalam memberikan keputusan memihak kepada tertuduh yang diwakili peguam, Hisyam Teh Poh Teik. Beliau dalam penghakimannya menegaskan kegagalan pendakwa menampilkan Yayok sesuatu amat dikesali.

"Dalam kenyataan buka bicara, pendakwa memberitahu Yayok diarah oleh tertuduh supaya tidak membersihkan bilik utama dan tidak mengusik almari. " Yayok juga dikatakan memberitahu bahawa dia mendengar tertuduh dan isterinya bertengkar di dalam bilik tidur," katanya.

Bagaimanapun, kata hakim, semua keterangan itu tidak bernilai memandangkan Yayok tidak ditampilkan sebagai saksi untuk disoal balas. Apakah yang berlaku kepada Yayok? Pembantu rumah itu ditangkap, didakwa dan dipenjara selepas didapati bersalah berada di negara ini secara haram. Selepas hukuman selesai, wanita itu diusir ke negaranya.

Hanya pendakwa yang tahu mengapa tiada usaha dibuat untuk memastikan Yayok terus berada di Malaysia selepas pemenjaraannya selesai dan mengapa tiada langkah digerakkan untuk mengesan Yayok di Indonesia selepas dia dihantar pulang ke sana demi memastikan keadilan untuk Fazlina dan keluarga Allahyarham.

....................................................................................

ARKIB : LAPORAN BERITA BERKAITAN KES INI
SEPERTI YANG PERNAH DILAPORKAN OLEH
UTUSAN MALAYSIA

BUNUH ISTERI : Tertuduh Lakukan Seks Berhampiran Mayat
SHAH ALAM 29 Nov 2010 : Seorang saksi dalam kes pembunuhan eksekutif wanita, Fazlina Ahmad mengaku mengadakan hubungan seks dengan tertuduh, Mohafri Mohamed ketika mayat mangsa masih berada di dalam almari berhampiran, pada hari kejadian.


Nazratul Annis Zainal Abidin, 23, semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, mereka melakukan hubungan intim di atas katil di bilik tidur utama di rumah kekasihnya itu kira-kira pukul 5.30 petang, 30 Disember 2009.

Kata saksi pendakwaan kelima itu, kejadian tersebut berlaku beberapa jam sebelum mereka berdua menaiki kereta api di KL Sentral menuju ke Perlis untuk berkahwin lari di Thailand. ''Selepas keluar dari bilik air, Mohafri masuk ke bilik air. Dia kemudian mengajak saya melakukan hubungan seks. Mulanya saya tidak mahu tetapi dia kata sekejap sahaja."

''Dia tolak saya ke atas katil dalam keadaan mengadap ke bilik air. Kami ada menggunakan kondom pada masa itu,'' katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar.

Dalam kes ini, bekas pengurus syarikat katering, Mohafri, 38, didakwa membunuh isterinya, Fazlina, 39, di rumah No. 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang antara pukul 5 pagi dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009. Dia dibicara mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Menurut Nazatul Annis, dia berkenalan dengan Mohafri yang mengaku sudah bercerai semasa sama-sama bekerja di Pusat Perubatan Tropicana pada tahun lalu dan merancang untuk berkahwin di Thailand apabila hubungan mereka tidak direstui ibu bapanya.

Pada hari kejadian, wanita itu mendakwa menaiki bas dari Parit Buntar, Perak pada pukul 1 tengah hari dan tiba di Perhentian Jalan Duta, Kuala Lumpur pada pukul 5 petang sebelum dijemput Mohafri dan dibawa ke rumahnya di Pinggiran Ukay, Ampang.

''Saya tanya kereta Toyota Vios siapa ada di hadapan rumah. Mohafri kata ia kepunyaan sepupunya yang pergi ke Kuantan. Saya juga tanya di mana anak-anak dan pembantu rumah. Dia kata Fazlina bawa mereka ke Pulau Pinang."

''Semasa saya di ruang tamu, dia kerap berulang-alik naik turun tangga dari tingkat atas rumah. Ketika di bilik tidur utama, dia sentiasa berada di laluan sebelah kiri saya seolah-olah cuba menghalang saya daripada melihat sesuatu. Saya juga tidak nampak jelas kerana tidak memakai cermin mata,'' jelasnya.

Menurut saksi, selepas mengadakan hubungan seks, dia terdengar bunyi loceng rumah dan diberitahu oleh Mohafri ada seorang polis wanita datang untuk berjumpa pembantu rumahnya, Yayok. Mohafri bagaimanapun enggan membuka pintu rumah kerana Yayok didakwa tidak memiliki pasport dan tidak lama selepas itu, lelaki tersebut menyuruh kekasihnya itu menaiki kereta bersama abangnya, Hanafi.

Mereka kemudian menuju ke KL Sentral dan menaiki kereta api ke Perlis pada pukul 8.15 malam sebelum turun di Rawang kira-kira 45 minit kemudian. ''Mohafri beritahu dia perlu buat laporan polis tentang kehilangan Fazlina dan menyuruh saya balik semula ke Kuala Lumpur seorang diri. Saya naik komuter dan menunggu kawan saya, Wan dari Sungai Buloh datang menjemput."

"Pada malam itu, Wan bawa saya ke rumah Mohafri untuk mengambil beg pakaian saya. Apabila sampai, rumah telah dikelilingi pihak polis. Wan keluar dari kereta untuk bertanya dan diberitahu ada kes suami bunuh isteri," katanya lagi.

Sementara itu, kakak mangsa, Faizah Ahmad, 47, pula berkata, Fazlina pernah mengadu menghadapi masalah rumah tangga kerana suaminya menjalinkan hubungan dengan orang ketiga dan berhasrat untuk bercerai.

Dia yang bekerja sebagai pembantu jururawat bercakap dengan mangsa untuk kali terakhir pada pukul 5 pagi hari kejadian apabila Fazlina menghubunginya dan meminta mengambil cuti kecemasan bagi menghantar bapa mereka ke hospital.

"Sebelum keluar ke tempat kerja pada pagi itu, saya ada cuba menghubungi Fazlina untuk memberitahu saya tidak dapat hantar bapa, tetapi adik saya akan berbuat demikian. Tetapi dia tidak dapat dihubungi," jelasnya.

Ketika diminta mengecam gambar-gambar Fazlina, saksi tidak dapat menahan kesedihan. Dia dilihat mengesat air mata menggunakan tisu yang diberikan oleh jurubahasa mahkamah. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung pada 13 Januari ini.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails