VVIP DENAI CINTA

20 April 2011

Kubur Warga Emas Digali, Barang Berharga Dicuri

KAJANG, 19 April : Barangan berharga di dalam keranda milik seorang warga emas hilang setelah kuburnya digali oleh mereka yang tidak kenali dalam satu kejadian di Tanah Perkuburan Kristian Sungai Chua di sini. Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang Supt Azman Ayob berkata polis telah dimaklumkan oleh anak simati bahawa kubur bapanya, Liew Ah Chow, 64, yang meninggal dunia pada 8 April lepas, telah digali.

Katanya polis menerima panggilan daripada anak mendiang kira-kira 9 pagi ini selepas diberitahu oleh seorang pekerja di tanah perkuburan. "Kita percaya kejadian ini berlaku malam tadi. Hasil pemeriksaan polis dari bahagian forensik Cheras mendapati mayat masih lagi di dalam keranda dan individu yang tidak bertanggungjawab itu hanya menggali dan mencuri barang-barang berharga."

"Barang-barang yang dicuri di dalam keranda itu ialah duit syiling, wang kertas, telefon bimbit dengan jumlah keseluruhan dianggarkan dalam RM200 hingga RM300," katanya ketika dihubungi Bernama Selasa.

Azman berkata polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian adalah lebih kepada mencuri dan tiada unsur keagamaan atau pemujaan. "Kertas siasatan dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh tempat perkuburan," katanya.

Tinjauan Bernama ke tempat kejadian mendapati kerja-kerja menanam semula mendiang sedang dijalankan oleh beberapa pekerja di tanah perkuburan tersebut sejak pukul 12 tengah hari tadi. Sementara itu, Wan Foong Yin, 64, isteri Liew berkata dia mengetahui kejadian itu setelah diberitahu oleh salah seorang anaknya yang ketika itu baru pulang dari pasar.

"Saya terkejut bila diberitahu kubur suami saya digali. Saya terus ke ke tempat kejadian dan lihat keranda telah dibuka tapi mayat suami saya masih berada di dalam keranda itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Wan berkata suaminya merupakan seorang yang baik hati dan suka menderma. "Dia ada bantu saya menjual minuman di pasar. Suami saya bukan jenis orang yang suka bergaduh dan dia sangat pemurah," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails