VVIP DENAI CINTA

22 Februari 2011

RM60,000 Melayang Bahana Ayat-Ayat Cinta Kasanova

Bernama
KUALA LUMPUR, 22 Feb : Bermodalkan rupa paras menarik dan ayat-ayat yang meruntun jiwa, seorang lelaki berjaya mengaut RM60,000 daripada lima wanita dan seorang lelaki lain sejak Julai tahun lepas sehingga awal tahun ini. Kesemua mangsa yang membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam MCA di sini mendakwa berkenalan dengan lelaki yang dikenali Ken Isaac itu menerusi laman sosial sebelum menjalin perhubungan dan persahabatan.

Ketua biro Datuk Michael Chong ketika mendedahkan taktik lelaki itu kepada pemberita, di sini pada Selasa, berkata secara umum lelaki tersebut akan menagih bantuan kewangan daripada mangsa selepas tiga bulan menjalin perhubungan. Selain itu kasanova ini yang mendakwa bekerja dalam industri pengiklanan dan mempunyai perniagaan sendiri turut menuntut hubungan seks daripada mangsa wanita, katanya.

Chong berkata kasanova itu menggunakan modus operandi serupa ke atas semua mangsa dan akan menghilangkan diri selepas memperolehi sejumlah wang. Polis katanya berjaya mengesan lelaki itu di Damansara di sini, tetapi suspek terbabit berjaya meloloskan diri. Lelaki itu kini dipercayai aktif mencari mangsa baru, kata Chong.

Chong berkata kes terbabit bukan perkara baru kerana sejak empat tahun lepas biro tersebut telah menerima 22 aduan membabitkan kerugian RM1.6 juta. Dua daripada kasanova yang terbabit dengan kes-kes tersebut telahpun dikenakan tindakan undang-undang dan kini menjalani hukuman penjara, katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails