VVIP DENAI CINTA

24 Februari 2011

Kantoi Selepas 5 Minit Menyamun

Polis Tahan Dua Daripada Empat Perompak Yang Baru Lima Minit Menyamun Di Subang Jaya
KUALA LUMPUR, 23 Feb : Dua daripada empat perompak yang baru lima minit menyamun tiga beradik berputih mata apabila ditahan polis dalam satu kejadian di Jalan USJ 10, Subang Jaya pada Rabu. Timbalan Ketua Polis Subang Jaya, Supt Abdul Aziz Abdul Majid berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, tiga beradik berumur lingkungan 30an disamun selepas mengeluarkan wang dari sebuah mesin pengeluaran wang.

"Mereka baru mengeluarkan wang kira-kira RM3,000 dan ketika kereta yang dinaiki tiga beradik ini mahu bergerak meninggalkan kawasan itu datang dua lelaki bersenjatakan parang dan tukul ke arah kereta mereka. Suspek kemudian memecahkan cermin depan dan belakang kereta tersebut serta merampas beg tangan mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta jenis BMW berwarna coklat yang berada di hadapan kereta mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini pada Rabu.

Beliau berkata kereta yang dinaiki kumpulan lelaki terbabit memecut meninggalkan kawasan itu tetapi terserempak dengan kereta peronda polis kira-kira 600 meter dari tempat kejadian. Curiga dengan keadaan tersebut, kereta peronda polis kemudian merempuh bahagian kanan kereta BMW terbabit dan menghalang mereka daripada meneruskan perjalanan, katanya.

Beliau berkata empat lelaki yang berada di dalam kereta BMW tersebut cuba melarikan diri namun dua daripada mereka berjaya ditahan dan dibawa ke balai polis berdekatan. Siasatan awal membawa kepada penemuan parang, tukul dan beg tangan yang dipercayai disamun mereka lima minit sebelum itu, manakala kereta terbabit dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu, katanya. Abdul Aziz berkata dua lelaki berusia 17 dan 21 tahun itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails