VVIP DENAI CINTA

13 Februari 2011

ADUN Kerdau Meninggal Dunia

KUANTAN, 12 Feb : Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kerdau Datuk Zaharuddin Abu Kassim meninggal dunia Sabtu selepas terjatuh dalam bilik air di rumahnya di Kerdau akibat serangan jantung. Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Noor Mansor berkata pihak Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh mengesahkan Zaharuddin, 63, meninggal di hospital berkenaan pada jam 7.15 petang. "Datuk Zaharuddin disahkan meninggal akibat serangan jantung," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Zaharuddin sebelum ini pernah dua kali dimasukkan ke hospital berkenaan kerana komplikasi buah pinggang dan jantung serta tekanan darah tidak stabil pada Mei dan November tahun lepas. Zaharuddin juga pernah menerima rawatan lebih dua bulan di Institut Jantung Negara kerana komplikasi buah pinggang dan jantung selepas menjalani pembedahan ulser usus di HOSHAS pada Mei lepas.

Sementara itu, anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said berkata Zaharuddin telah dimasukkan di unit rawatan rapi hospital berkenaan. Bagaimanapun beliau disahkan meninggal ketika diberi rawatan. Beliau berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Taram, Kerdau selepas Zohor pada Ahad.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi. Beliau memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin pula meraih 2,520 undi

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails