VVIP DENAI CINTA

22 Januari 2011

KERAJAAN 'SUAMI ISTERI' WAJAR DIGANTIKAN DENGAN KERAJAAN BARU

HARAKAHDAILY
PARIT BUNTAR, 22 Jan : Pejabat Wanita Pertama Malaysia (FLOM) di Putrajaya adalah satu pembaharuan yang julung kali ada dalam sejarah pentadbiran negara.
"Perkara ini boleh disifatkan sebagai tindakan tiada adab dan biadab dalam isu pentadbiran negara," kata Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini. Khalil memberi respons dengan menjelaskan bahawa pejabat rasmi Rosmah yang kapasitinya adalah sebesar satu bahagian atau divisyen.

Tambahnya, bahagian FLOM adalah rasmi dan ia sebaris dengan divisyen lain termasuklah Pejabat Setiausaha Politik, Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Pejabat Ekonomi Perdana Menteri dan Pejabat Pengurusan Sri Perdana.

"Dia isteri PM, jadi dia tidak perlu bekerja untuk sara keluarga, malah PM sudah ada menterinya yang lengkap dengan jabatan bagi mengurus tadbir kerajaan, Rosmah tidak diperlukan, dia tidak lebih dari mendampingi PM dalam majlis rasmi seperti amalan isteri PM sebelum ini. Dan jangan nak jadi menteri dan lakukan sesuatu yang tidak masuk akal," katanya yang juga Adun Titi Serong.


Beliau turut mempersoalkan tindakan Rosmah menghadiri dan menyampaikan ucaptama bertajuk 'Kompetensi Guru Dalam Membentuk Generasi Akan Datang' pada Persidangan Antarabangsa Pertama anjuran Kementerian Pendidikan Arab Saudi minggu lepas.


"Menteri-menteri yang dilantik dalam kabinet Najib seolah-olah sudah hilang peranan. Siapakah Menteri Pelajaran? Mengapakah semudah itu dan tanpa ada rasa bersalah dia melakukan kerja-kerja menteri berulang kali?" soal beliau.
Beliau juga menyifatkan Malaysia sudah mempunyai kerajaan yang layak diberi jolokan sebagai kerajaan suami isteri.

"Suatu yang amat memalukan jika perkara ini sampai ke pengetahuan rakan-rakan dari negara luar, Malaysia dilihat bercelaru apabila isteri PM melakukan kerja-kerja menteri kabinet,"ujarnya.
Justeru, ujarnya ahli-ahli Umno khususnya wajar berfikir kembali mengenai taat setia mereka terhadap BN.

"Sanggupkah anda melihat negara luar terus mentertawakan Malaysia tercinta disebabkan pemimpin BN berkelakuan pelik dan aneh," soalnya.
Beliau berpandangan bahawa kerja Rosmah hanya boleh dihentikan dengan mengalahkan BN dengan memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat memulihkan imej negara pada PRU13 nanti. Katanya lagi, apabila Najib terus berkuasa selagi itu Rosmah akan mengganggu pentadbiran negara.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails