Jumaat, 21 Januari 2011

Adun Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan Meninggal Dunia

BERNAMA
MELAKA, 20 Jan : Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, yang mengalami serangan jantung sejak Sabtu lepas meninggal dunia di Hospital Pakar Putra di sini, malam Khamis. Ketua Pegawai Eksekutif hospital itu, Radhuana Salleh berkata exco kerajaan negeri Melaka itu meninggal dunia pada kira-kira pukul 8.10 malam.


Petang tadi Allahyarham yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa Melaka, berada dalam keadaan koma serta kritikal, dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan semasa dirawat di Unit Kawalan Rapi (ICU) hospital. Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika ditemui di hospital di sini malam ini berkata allahyarham disahkan meninggal dunia selepas alat itu menunjukkan tanda mendatar.

"Kerajaan negeri, dan bagi pihak semua rakyat negeri ini mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham, dan jenazah akan dibawa ke rumahnya malam ini sebelum dikebumikan esok," katanya. Antara yang turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham malam ini ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Othman Muhammad, anggota Exco, pemimpin dan ahli poltik Barisan Nasional (BN).

Allahyarham dimasukkan ke hospital itu sejak seminggu lepas bagi membersih arteri yang tersumbat selepas mengadu perutnya tidak selesa sejak kembali dari Taiwan pada 13 Januari lepas.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Sungai Layang, Rembau, Negeri Sembilan dikenali sebagai seorang yang periang dan sentiasa mesra dengan penduduk sekitar kawasan yang diwakilinya. Dilahirkan pada 27 Jun 1956, Allahyarham pernah bertugas di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebagai pembantu luar dan jawatan terakhirnya sebagai pegawai seranta di Yayasan Melaka sebelum bertanding pada pilihan raya umum 2004.

Allahyarham yang menjadi Naib Ketua Umno bahagian Jasin sejak 2004 itu, memenangi pilihan raya pertamanya menewaskan S.Jayathas dari parti Keadilan dengan majoriti 5,087 undi dan pada pilihan raya lepas, beliau menang dengan majoriti 2,154 mengalahkan pencabarnya, Jasme Tompang dari parti PAS. Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Noor Azian Mohd Ali dan empat orang anak yang berada di sininya semasa beliau menghembuskan nafas terakhir.

Mohd Ali berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumahnya di Kampung Tersusun, Lipat Kajang dan akan disembahyang selepas solat Jumaat di Masjid Simpang Kerayong sebelum dikebumi di Kampung ChinChin.

1 comments:

armouris berkata...

takziah dan al-fatihah! info tentang serangan jantung di SIHAT SELALU - Bagaimana Serangan Jantung Terjadi

Related Posts with Thumbnails

Apabila Rakyat Bersuara!!!

Apabila Rakyat Bersuara!!!
HIMPUNAN AMAN MANSUH I.S.A 1 OGOS '09

Tok Guru Dalam Filem Pendek 'The Tree'