Isnin, 30 Ogos 2010

Masuk Surau : Nie Ching Temui Nik Aziz

Nazri Abdullah - HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 30 Ogos:
Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching hari ini bertemu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapatkan pandangan berhubung isu kunjungannya ke Surau Al-Huda, Kajang 22 Ogos lalu.

Beliau mengunjungi Menteri Besar Kelantan itu di Rumah Kelantan di ibu negara siang tadi sejurus Tuan Guru dan deligasi kerajaan Kelantan memfailkan saman kepada Petronas di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini.

Kita tak mahu kata boleh atau tidak – Guan Eng

Mohd Ali Hashim - HARAKAHDAILY
NIBONG TEBAL, 30 Ogos :
Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching tidak berniat jahat memasuki ruang solat di Surau Al-Huda, Kajang Sentral baru-baru ini.
Beliau hanya ingin merapatkan silaturrahim antara kariah dan telah pun memohon maaf kepada Sultan Selangor, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Oleh kerana itu, seharusnya perkara ini tidak dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kaitkan PAS, Utusan Berdepan Saman

KUALA LUMPUR, 29 Ogos : PAS sedang menimbang untuk mengambil tindakan saman ke atas akhbar Utusan Malaysia ekoran mengaitkan parti itu dengan insiden kunjungan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching ke Surau Al-Huda, Kajang Ahad lalu. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara tersebut telah diputuskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat pada mesyuarat mereka siang tadi.

"Utusan menyiarkan laporan bahawa beliau (Nie Ching) hadir untuk memberi sumbangan kepada Ahli PAS, sedangkan sumbangan tersebut untuk membaiki pagar surau. Kita akan ambil tindakan mahkamah, dan saya telah berbincang dengan pengerusi surau tersebut, kita akan saman mana-mana pihak yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengedarkan risalah keselamatan kepada pengguna jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi, hari ini. Utusan dalam laporanya 27 Ogos lalu mendakwa Nie Ching memasuki ruang solat Surau Al-Huda dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada 'ahli-ahli PAS'.

Ahad, 29 Ogos 2010

TOK GURU NIK AZIZ HINA MASJID...?

Jangan disalah tafsir tajuk di atas, mungkin tajuk itu 'tepat' bagi segelintir ahli UMNO, namun ia tidak terkesan langsung kepada rakyat Kelantan yang bernaung di bawah pentadbiran Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz. Malah ahli UMNO Kelantan dilihat lebih bijak dan tidak menjadikan perkara ini sebagai isu politik murahan sehingga menakutkan golongan non-Muslim untuk lebih dekat kepada Islam.


Sumbangan kepada non-Muslim : Kecelaruan UMNO luar Kelantan begitu kuat. Mereka perlu belajar dengan UMNO Kelantan yg tak bising pun apabila TGNA menggunakan ruang solat di masjid bagi sumbangan awal ramadhan baru-baru ni. - Berita & Foto oleh : Mohd Nor Yahya

INDAHNYA ISLAM DI BUMI DARUL NAIM
Mungkin kerana itulah Kelantan bergelar
SERAMBI MEKAH

ISU AURAT DALAM MASJID


~...NILAIKAN SEADILNYA...~


TIDAK FAHAM AGAMA PUNCA POLEMIK - TUAN GURU NIK AZIZ

KOTA BHARU, 29 Ogos : Isu bukan Islam memasuki masjid bukan satu kesalahan dalam Islam kerana ia antara kaedah yang diguna Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan mesej dakwah. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, isu ini menjadi polemik dalam masyarakat akibat sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni.

"Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah. Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu, yang kini hangat diperkatakan. "Jadi bila ada orang bukan Islam sekarang ni masuk dalam masjid, tak ada apa pun. Nak ceramah ke, nak apa ke, tak ada masalah apa pun," katanya lagi.

UMNO Tentang MAJLIS FATWA

KUALA LUMPUR, 28 Ogos : Tindakan Umno mengapi-apikan isu bukan Islam memasuki Masjid dilihat menentang keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia, mempolitikkan kunjungan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu.

Muzakarah Kali Ke-90 jawatankuasa tersebut yang bersidang pada 1 Mac 2010 lalu telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

'Tazkirah' Di Surau : TEO MOHON AMPUN SULTAN

Ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang mencetuskan kontroversi apabila lawatannya ke Surau Al-Huda Kajang pada Ahad lalu dilaporkan oleh Utusan Malaysia sebagai 'tazkirah' di surau, hari ini memohon maaf. Katanya, beliau menyesal kerana lawatan ikhlasnya itu telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara ini dan lebih malang lagi apabila ada pihak-pihak tertentu mengeksploitasikannya untuk kepentingan politik mereka.

"Saya juga akan memajukan penjelasan dan permohonan maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor Darul Ehsan mengenai perkara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sabtu, 28 Ogos 2010

SYARIAT HANYA DITITIK BERATKAN DI DALAM SURAU DAN MASJID?

PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Jumaat amat murka dan dukacita dengan tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang menyampaikan 'tazkirah' di dalam Surau Al-Huda Kajang Sentral pada Ahad lalu. Sehubungan itu baginda menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengambil tindakan segera dan tegas ke atas surau berkenaan.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa dalam satu kenyataannya menegaskan, MAIS telah membuat keputusan untuk mengambil alih dan menguruskan pentadbiran surau tersebut dengan serta-merta kerana insiden berkenaan jelas bertentangan dengan titah Sultan Selangor. - mStarOnline


..............................


Cepatnya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bertindak bagi menjunjung titah paduka al-Sultan. Pasti ada hikmah yang tersirat dan tersurat atas apa yang berlaku ini, bersama jadikan ia cerminan dan renungan buat kita semua. Apakah sedemikian pantasnya kita menjunjung titah perintah YANG MAHA AGUNG ALLAH SWT...? Apakah titah perintah YANG MAHA KUASA kita penuhi...?


Kita marah apabila warga bukan Islam tidak menutup aurat semasa menyampaikan ucapan di dalam surau atau masjid. Namun apakah kita tidak marah dan merasa geram dengan tingkah laku anak muda Islam kita yang pakaiannya sama sahaja dengan golongan kuffar di luar sana...?

BUMI ALLAH INI ADALAH MASJID-NYA. Bukan hanya di dalam masjid sahaja aurat itu harus ditutup, apatah lagi kepada mereka yang beragama Islam yang wajib menutup auratnya. APAKAH ALLAH SWT TIDAK MURKA APABILA HAMBA-NYA MEMPERMAINKAN SYARIAT DAN MELANGGAR SEGALA LARANGAN-NYA...? Junjunglah TITAH PERINTAH ALLAH SWT itu hatta di luar masjid dan surau sekalipun...!!!

Jumaat, 27 Ogos 2010

AHLI UMNO PULAU PINANG, JEMAAH SOLAT JUMAAT PALING KHUSYUK DI 1MALAYSIA

BERITA HAIRAN : Ahli UMNO di Pulau Pinang dilaporkan menjadi jemaah paling khusyuk mendengar khutbah dalam solat Jumaat pada hari ini. Kealiman dan kekhusyukan mereka sehingga ada di antara mereka yang bersiap sedia membawa perakam suara dan video semasa mendengar khutbah yang dibacakan khatib sambil menunggu bacaan doa. Bacaan doa oleh Khatib amat ditunggu-tunggu kerana mereka amat teringin untuk mendengar sekiranya Khatib ada mendoakan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Doa kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng menjadi tarikan yang amat kuat kepada ahli UMNO Pulau Pinang dan mereka begitu mendambakan agar doa tersebut dibacakan oleh Khatib. Malangnya mengikut laporan Persatuan Tok Siak Seluruh Pulau Pinang (PeTSiSPuP), tiada doa untuk Ketua Menteri Lim Guan Eng dibacakan dalam Khutbah Jumaat pada hari ini. Dan ini membuatkan ahli-ahli UMNO ini pulang kehampaan penuh kekempunanan.

Khamis, 26 Ogos 2010

ROYALTI : Sah, Kelantan Saman PETRONAS

KOTA BHARU, 25 Ogos : Mesyuarat exco kerajaan negeri Kelantan hari ini memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Petronas ekoran kegagalannya membayar royalti negeri itu seperti termaktub dalam perjanjian. Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan fail writ saman terhadap Petronas pada 30 Ogos ini. "Writ saman ini dibuat selepas ia mendapat keputusan pada mesyuarat exco tadi," ujarnya.

40 ULAMA Ketuai Munajat Royalti Kelantan

KOTA BHARU, 25 Ogos: Seramai 40 ulama akan mengetuai Munajat Royalti Kelantan bagi memohon tuntutan hak royalti minyak kerajaan negeri itu dikembalikan kerajaan Pusat. Program secara berkala yang dijangka bermula Disember ini adalah dianjur sekretariat khas royalti yang di bawah Gerakan Bertindak Kebalikan Royalti Minyak (Gegar).

Ketua NGO itu, Md Zulaimi Kazin, dalam sidang medianya memberitahu sebahagian besar anggota mereka disertai oleh para ulama dari beberapa buah pondok, terutama dari Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumbuh.

Waris Rayu Bebas Tahanan ISA Sebelum Raya

KUALA LUMPUR, 25 Ogos : Harapan Mohammad Fadhlullah Abdul Razak, 28, tahanan terbaru ISA untuk beraya bersama keluarga bulan depan mungkin malap. Menurut Hasnol Hadi Abdul Razak, 25, pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum memberitahu tentang status tahanan abangnya itu sejak ditahan 36 hari lalu. Bagaimana pun, katanya, Polis memanggil waris Fadhlullah ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman esok.

"Setakat ini, tidak ada apa-apa lagi tetapi esok, polis panggil kami ke Bukit Aman.
Saya kerja, kedua-dua ibu bapa saya mungkin pergi melawat abang esok," ujarnya tengah hari tadi kepada Harakahdaily. Beliau turut menyuarakan rasa yakin bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri akan membebaskan abangnya itu sebelum raya ekoran tiada dakwaan yang jelas ke atas abangnya itu.

Isnin, 23 Ogos 2010

DOA UNTUK LIM GUAN ENG

Apakah suatu kesalahan sekiranya aku mendoakan
sedemikian untuk Saudara Lim Guan Eng...?

"Ya Allah... Ya Rahman Ya Rahim... Berikanlah hidayah keislaman kepada sahabat kami Lim Guan Eng beserta sahabat-sahabat kami yang lain yang bukan beragama Islam agar bertambah umat Muhammad, agar agama-Mu terus kukuh dan terpelihara di bumi-Mu Ya Allah. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Kami dan Engkaulah Yang Maha Berkuasa dan sesungguhnya Muhammad itu pesuruh Mu Ya Allah."

...Amin Ya Rabbil Alamin...

Jumaat, 20 Ogos 2010

D&D : Di sini, DINAR & DIRHAM - Di sana, DENGKI & DENDAM

Kadang-kadang tingkah laku pemimpin UMNO ini sangat mudah untuk dijangka. Apa saja yang baik datang dari Kelantan,itulah yang akan dibangkang habis-habisan oleh UMNO. Sebut saja apa jua perkara yang datang dari Kelantan, berduyun-duyunlah pemimpin UMNO 'menunjuk cerdik' memberi komen. Kalaupun nampak janggal, tiadalah mereka peduli asalkan nampak hebat di mata pandangan gerombolan mereka.

Seingat saya, sepanjang dua dekad usia kerajaan PAS di Kelantan bermula tahun 1990 ini, itulah yang sentiasa kami hadapi. Cuti dua hari seminggu digelar sebagai 'budaya pemalas', akhirnya orang yang sama menelan kembali ludahnya. Cuti 60 hari kakitangan wanita yang bersalin turut dipandang sinis, kemudiannya tanpa segan silu ditiru. Jangan lupa pemerkasaan perbankan Islam turut bermula dengan langkah kerajaan Kelantan memindahkan wang kerajaan dari bank riba ke perbankan Islam. Itu belum termasuk program-program kebajikan seperti Skim Takaful Kifalah, Skim Armalah, Ladang Rakyat dan panjang lagi senarainya.

Khamis, 19 Ogos 2010

Soalan Peguam SPRM Menjengkelkan Banyak Pihak

KUALA LUMPUR, 19 Ogos : Cara Ketua Bahagian Undang-undang dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Razak Musa menyoal-balas Pakar patalogi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand dalam inkues Teoh Beng Hock semalam menjengkelkan banyak pihak.

Dr Pornthip sendiri melepaskan kejengkelannya terhadap Abdul Razak Musa dalam soal balasnya sehingga bertanya kepada koroner, "Apakah dia ini seorang peguam." Soalan-soalan beliau juga membangkitkan kejengkelan juga di kalangan pemerhati yang memenuhi mahkamah koroner itu.

SAMAN EKOR Untuk Kutip 'DUIT RAYA' - Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, 19 Ogos : Kedegilan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mahu meneruskan saman ekor sempena perayaan tahun ini biarpun mendapat bantahan rakyat dilihat cubaan memungut 'duit raya' dari rakyat. Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan berkata, alasan Ketua Polis Negara bahawa saman ekor untuk mengurangkan kadar kemalangan adalah bukan satu alasan yang tepat.

PEMUDA PAS LANCAR KEMPEN BANTAH SAMAN EKOR

KUALA LUMPUR, 18 Ogos : Dewan Pemuda PAS Pusat akan melancarkan kempen sejuta tandatangan bagi membantah saman ekor di Bazar Ramadhan Keramat pada 23 Ogos ini bermula jam 5.00 petang.

Timbalan ketuanya, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, kempen tandatangan itu akan bergerak ke seluruh negara dan akan diserahkan kepada kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

DINAR DAN DIRHAM JADI REBUTAN RAKYAT KELANTAN

Hari pertama dinar emas dan dirham dibuka untuk jualan, semalam menyaksikan rakyat Kelantan memenuhi Pusat Pajak Gadai Islam Ar-Rahn di Kota Bharu bagi mendapatkan mata wang yang diperkenalkan kerajaan negeri itu.

Rata-rata pembeli yang ditemui berkata mereka berhasrat menjadikan dinar dan dirham itu sebagai hiasan diri seperti loket dan juga untuk disimpan sebagai koleksi peribadi. Seorang pembeli, Zainun Che Aziz, 60, berkata pengeluaran dinar itu adalah trend terbaru emas di pasaran yang perlu dibeli dan harus dimiliki.

Rabu, 18 Ogos 2010

DENGKI, PUNCA DINAR KELANTAN DITENTANG - TUAN GURU NIK AZIZ

KOTA BHARU, 18 Ogos : Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tindakan mempolemikkan penggunaan dinnar emas dan dirham perak di Kelantan adalah disebabkan sifat hasad dengki dan pihak tertentu. Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau tidak melihat penentangan penggunaan dinar dan dirham tersebut mempunyai asas yang kuat selain dendam politik Umno terhadap kerajaan PAS negeri itu.

Isnin, 16 Ogos 2010

MAS Rugi RM8 Bilion, Siapa Lindungi Tajuddin

KUALA LUMPUR, 16 Ogos : Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mempersoalkan pihak yang melindungi bekas Pengerusi Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Tan Sri Tajuddin Ramli menyebabkannya bebas daripada pendakwaan yang mengakibatkan kerugian syarikat itu sebanyak RM8 bilion.

Isnin, 2 Ogos 2010

SAMAN EKOR : PAS Gesa Batal Senarai Hitam Kenderaan

KUALA LUMPUR, 2 Ogos : Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) akan bertemu dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha pada 5 Ogos ini bagi berbincang mengenai tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan akibat menerima saman ekor.

Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar berkata, jawatankuasa berkenaan juga akan mengatur satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan perkara sama.
"Kami berharap pihak menteri tidak ada masalah dengan pertemuan ini kerana isu ini melibatkan rakyat secara keseluruhannya. Kami minta pihak Kementerian Pengangkutan membuat keputusan bijak dengan mengarahkan JPJ membatalkan black list tersebut dan izinkan orang ramai untuk perbaharui cukai jalan."
Related Posts with Thumbnails

Apabila Rakyat Bersuara!!!

Apabila Rakyat Bersuara!!!
HIMPUNAN AMAN MANSUH I.S.A 1 OGOS '09

Tok Guru Dalam Filem Pendek 'The Tree'