VVIP DENAI CINTA

01 November 2010

PIALA MALAYSIA - Kerajaan PAS Rakam Tahniah

GUA MUSANG, 31 Okt : Kerajaan PAS Kelantan rakam ucapan tahniah kepada pasukan bola sepak The Red Warriors di atas kejayaan menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 malam tadi. Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, dengan kemenangan itu sekali gus Kelantan berjaya menebus kekalahannya di tangan Negeri Sembilan 1-3 pada saingan akhir musim lepas.

"Tahniah kepada pemain yang telah berusaha bersungguh-sungguh sehingga dinobat sebagai juara siri perlawanan bola sepak Piala Malaysia yang sememangnya menjadi idaman rakyat selama masa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya lagi, kemampuan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa telah mencipta sejarah baru arena bola sepak negeri ini.

"Tahniah kepada Tan Sri Annuar, kejayaannya memimpin skuad The Red Warriors itu sekali gus melakar sejarah institusi pasukan bola sepak Kelantan sebagai Presiden Kafa pertama berjaya membawa balik piala berprestij itu," katanya.
Kejayaan Kelantan malam tadi menamatkan kemarau 55 tahun sejak kali pertama mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali sebagai Piala HMS Malaya.

Sempena kejayaan itu, kerajaan negeri memberi cuti peristiwa yang diumumkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas menyaksikan sendiri detik gemilang itu.


HADIAH 20 TAHUN KERAJAAN PAS

KUALA LUMPUR, 31 Okt : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan bola sepak Kelantan yang memenangi Piala Malaysia 2010 malam tadi. Ustaz Hadi berkata, kemenangan itu merupakan hadiah kepada rakyat Kelantan sempena 20 tahun pemerintahan Islam di negeri itu.

"Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada rakyat Kelantan kerana telah menjuarai Piala Malaysia 2010.
Jadikanlah ia sebagai hadiah sempena perayaan 20 tahun Kelantan Membangun Bersama Islam," tulis beliau di laman sosial facebooknya pagi tadi.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pasukan Negeri Sembilan yang telah menunjukkan permainan yang cemerlang dan semangat berpasukan sepanjang perlawanan berlangsung.
"Syabas untuk Negeri Sembilan yang bertungkus-lumus untuk mempertahankan kejuaraan," katanya lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang turut mengucapkan tahniah kepada The Red Warriors berharap kemenangan itu turut dibawa ke Galas dalam pilihan raya kecil (PRK) kali ini.
"Tahniah kepada Kelantan juarai Piala Malaysia. Galas Piala Malaysia lepas ni Galas untuk PAS dan Pakatan Rakyat," katanya.

Kemenangan Kelantan di Stadium Putra Bukit Jalil malam tadi menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali sebagai Piala H.M.S Malaya.


Negeri Sembilan memperolehi gol pertama seawal minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Shahurain Abu Samah.
Kelantan memperoleh gol penyamaan pada separuh masa kedua apabila hantaran luar Norshahrul Idlan Talaha tidak disia-siakan Hairuddin Omar yang menanduk dan merobek gol Negeri Sembilan pada minit ke-57.

Mohd Badri Mohd Radzi menambah jaringan pada minit ke-65 hasil hantaran cantik Mohd Norfarhan Muhamad.
Kedudukan kekal 2-1 sehingga wisel penamat, menggembirakan sekurang-kurangnya 60,000 penyokong Kelantan yang hadir ke stadium.

Turut mengucapkan tahniah, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan.
"Tahniah daripada DPPP Kelantan bawa pulang trofi Piala Malaysia. Ia jadi hadiah untuk pemerintahan Tok Guru Nik Aziz dan juga Sultan baru," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga turut berjanji akan memberi imbuhan wang tunai kepada pemain Kelantan ekoran berjaya ke saingan peringkat akhir akhir Piala Malaysia musim ini.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails