VVIP DENAI CINTA

26 Oktober 2010

SUPERHERO MALAYSIA - HAQ


'BAGAI PELAKON HOLLYWOOD'
BAGAIKAN bintang Hollywood. Itulah yang dilalui aktor Zul Huzaimy apabila membintangi filem sulung KasehDia Pictures, Haq. Walaupun belum pernah membintangi filem Hollywood, Zul mengakui kagum dengan layanan dan cara kerja produksi Haq sepanjang menjalani penggambaran filem itu pada awal tahun lalu.


Bintang KL Menjerit, Wayang, Anak Halal, Syaitan dan Lembing Awang Pulang Ke Dayang berkata, dia pernah berkunjung ke Universal Studios di Los Angeles dan berpeluang melihat bagaimana pembikinan filem dilakukan di sana. Baginya, perkara berkenaan dapat dirasakannya ketika membintangi filem itu.

"Apa yang boleh saya katakan istimewa ialah dari segi layanan. Kalau biasanya pelakon dan kru ditetapkan waktu makan melalui hidangan katering disediakan, produksi ini memberi kebebasan untuk menikmati makan tengah hari atau malam ikut kemahuan. Mereka akan bertanya mahu makan sekarang atau nanti dan kalau saya belum bersedia, saya boleh mendapat makanan itu mengikut waktu yang saya mahu."

"Apabila menjalani penggambaran dalam hutan atau di kawasan luar bandar, disediakan kemudahan tempat tukar baju dan membersihkan diri. Walaupun bukan disediakan setiap satu untuk setiap pelakon utama sebagaimana di Hollywood, ia sudah cukup baik berbanding tukar pakaian dalam kereta atau berhadapan masalah membersihkan diri."

"Cara kerja mereka juga berbeza kerana tidak bising seperti biasa sebaliknya hanya dengar suara pengarah berkata 'action' dan 'cut'. Selalunya selepas pengarah kata ‘cut’, bunyi bising seperti di pasar, tetapi perkara ini tidak berlaku dalam Haq,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem itu, baru-baru ini.

Mengenai pengalaman bekerja dengan CL Hor yang pernah mengarahkan Third Generation dan Kinta, Zul mengakui pengarah yang banyak menimba pengalaman bekerja dengan produksi Hong Kong itu sangat teliti. Katanya, dalam satu babak yang hanya papar mukanya secara 'close-up', Hor mengatakan lakonannya 'over' sedangkan dia melakukan gerakan biasa saja. "Dia begitu teliti sampaikan melalui gerak mata dia komen dan mahu saya buat sampai dia puas hati," katanya.

Dalam filem yang diarahkan bersama produsernya, Jumaatun Azmi ini, Zul memegang watak utama sebagai Haq, yang dianugerahkan kuasa istimewa seperti ayahnya. Menerusi lakonannya itu, Zul dicalonkan merebut gelaran Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23).

Turut berlakon, Ady Putra sebagai Bad yang cemburu dengan Haq dan ingin memiliki kuasa sepertinya manakala dua wanita yang menyerikan filem ini ialah Nanu Baharudin sebagai Zahra yang keliru antara cintanya pada Bad dan Haq serta Raja Farah (Aina) yang menyimpan perasaan pada Haq, tetapi diperdaya Bad untuk menghancurkan Haq.

Pelakon lain, Fatimah Abu Bakar sebagai Mak Lang, Zulkifli Ismail (Tuan Haji Ibrahim) serta pelakon kanak-kanak, Ammar Adli Mohamed Norin dan Amirul Adli Mohamed Norin sebagai Haq dan Bad waktu kecil.

Fatimah juga bertindak sebagai jurulatih lakonan selama sebulan sebelum mereka menjalani penggambaran selama sebulan pada Februari dan Mac tahun lalu di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Perak.

Daripada treler dan babak terpilih yang dipertontonkan ketika pelancarannya itu, penghasilan Haq begitu membanggakan dengan aksi dan imej janaan komputer(CGI) setaraf filem antarabangsa. Filem ala Dragon Ball dan Hero ini bakal ditayangkan di pawagam pada 27 Januari depan dan menyerahkan hak pengedaran untuk pasaran Malaysia dan antarabangsa kepada United Studios, anak syarikat KRU Studios.

Apabila kuasa di genggaman, ke mana arah hati manusia? Persoalan dipaparkan dalam skrip Brian Iskandar Zulkarim ini nyata menarik minat Jumaatun untuk meneroka penerbitan filem empat tahun lalu. Bagaimanapun, bukan mudah untuk merealisasikan kisah ini di layar perak apabila berhadapan pelbagai masalah hingga menawarkan bantuan Nanu sebagai produser bersama.

Penggambaran dimulakan awal tahun lalu dan siap sepenuhnya Jun lalu dan akhirnya bersedia dengan tayangan pada Januari depan. Usahawan wanita yang sebelum ini berjaya menerusi perniagaan komunikasi melalui KasehDia mengakui sebagai pendatang baru dalam industri, bukan mudah melahirkan Haq kerana pelbagai dugaan dan cabaran perlu dilalui sepanjang menghasilkan filem ini.

"Bagi saya, filem Haq menandakan saat kelahiran superhero Melayu moden dengan nilai murni ketimuran. Dengan kualiti sinematografi hebat dan dipenuhi koreografi aksi menarik, mampu membuat penonton terpegun. Saya juga yakin filem ini mampu mengangkat prestasi industri perfileman negara ke satu tahap yang lebih tinggi."

"Malah, saya berbangga dengan kejayaan awal Haq yang mendapat enam pencalonan di FFM23 iaitu Pengarah Harapan, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Kanak-kanak Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Cerita Asal Terbaik."

"Saya juga bangga kerana dapat bekerjasama dengan United Studios iaitu anak syarikat KRU Studios yang berjaya menghasilkan filem hebat dan membanggakan seperti Cicakman, Duyung dan Magika. Mereka diberi hak pengedaran Haq di peringkat tempatan dan antarabangsa," katanya.

Katanya, skrip yang ditulis Brian Iskandar yang turut dicalonkan di FFM23 begitu menarik mengenai manusia apabila kuasa berada di genggamannya. Dalam memenuhi kepuasan dendam tersemat sekian lama, manusia sanggup berpaling tadah terhadap kuasa Tuhan dan mula menjadi hamba kepada iblis.

"Segala sifat kemanusiaan tidak lagi menjadi pertimbangan dan pertalian sedarah tidak lagi dihirau nilainya. Begitulah mesej yang ingin disampaikan dalam Haq iaitu mengenai manusia yang mula hilang pertimbangan dan menjadi jahil dalam meniti peredaran zaman yang kian moden," katanya.

Majlis pelancarannya turut dihadiri Presiden Eksekutif United Studios, Norman Abdul Halim, barisan pelakonnya, Zul, Ady, Nanu, Raja Farah, Zulkifli Ismail, Ammar Adli dan Amirul Adli.

2 ulasan:

manjeamusyuk berkata...

HaQ? Mcm Hulk ek? huu..

SHA berkata...

HAQ ITU MAKSUDNYA YANG BENAR.......

Related Posts with Thumbnails