VVIP DENAI CINTA

12 Oktober 2010

Kes Bicara Kematian Aminulrasyid Bermula

Perbicaraan seorang korporal yang didakwa menembak mati seorang remaja berusia 15 rahun, Aminulrasyid Amzah, bermula di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini dan dijadualkan berlangsung selama 11 minggu.

Jenain Subi, 48, dituduh menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Aminulrasyid, di Jalan Tarian 11/2 , Seksyen 11, antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Saksi pertama pada perbicaraan ini adalah lans korporal Mohd Sabri Salleh.
Katanya, ketika kejadian pada 26 April lalu itu, beliau ditugaskan di Bahagian Gerakan di Shah Alam antara tengah malam hingga jam 8 pagi.

Pada sekitar 1.45 pagi Mohd Sabri berkata beliau menerima panggilan dari kereta peronda SL589 memaklumkan bahawa sebuah kereta Proton Iswara putih sedang memecut dan enggan berhenti. Katanya, kereta peronda berkenaan memohon bantuan bagi menghentikan kereta tersebut.

"Setelah beberapa minit kemudian, Saya menerima panggilan daripada kereta peronda SL614 memaklumkan mereka sedang mengejar kereta Iswara dari Hotel Concorde Hotel ke Bulatan Kayangan dan kemudiannya menghala balik."

"Saya panggil anggota di SL614, Korporal Jenain (tertuduh) melalui telefon bimbitnya. Dia memaklumkan bahawa kereta Iswara itu telah hilang kawalan dan pemandunya cedera di Jalan Makyong 11/2." Mohd Sabri berkata Jenain kemudiannya meminta beliau memanggil ambulan kerana pemandu Iswara itu cedera.

Saksi kedua, detektif lans korporal Ahmad Zamzani Abd Wahab, 25, memberitahu mahkamah bahawa dia merakamkan 41 keping gambar di lokasi kejadian. "Saya ambil gambar di jalan, pokok yang dilanggar, kelongsong peluru, juga gambar di dalam kereta dan mangsa,” katanya.

Menurut timbalan pendakwa raya persekutuan, DPP Mohd Dusuki Mokhtar, sejumlah lima saksi akan dipanggil. Jenain diwakili oleh peguam-bela Salim Bashir manakala peguam veteran, Karpal Singh bertindak sebagai peguam pemerhati untuk keluarga Aminulrasyid.

Pada 10 Mei lalu, Jenain, dihadapkan ke mahkamah dan membuat pengakuan tidak bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid. Kematian mengejut remaja itu menimbulkan kemarahan orang ramai berhubung dakawaan polis yang melepaskan tembakan secara membabi-buta dan memaksa Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) berhubung penggunaan senjata api. Sebuah panel yang dipengerusikan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Abu Seman Yusop ditubuhkan bagi mengkaji IGSO dan juga menyiasat kejadiaan berkenaan.

Adalah dilaporkan Aminulrasyid dan rakannya, Azamuddin Omar, juga berusia 15 tahun sedang dalam perjalanan ke rumah daripada sebuah restoran di Seksyen 7, Shah alam pada malam kejadian itu. Sebuah kereta polis memintas mereka lalu melepaskan tembakan. Remaja berkenaan memberhentikan kereta di bahu jalan, di mana Aminulrasyid kemudiannya dijumpai terkulai di kerusi pemandu.

2 ulasan:

ika~~ berkata...

dah lama xdgr cite kes arwah adik aminul ni..thx 4 the info

ezry da' legend berkata...

welcome...
semoga keadilan bagi yang berhak...

Related Posts with Thumbnails