VVIP DENAI CINTA

29 Julai 2010

SKIM CEPAT KAYA TIPU ANAK MUDA TUMPAS!!!

Nak digelakkan, kesian pulak rasenye. Tapi itulah yang terjadi kepada bangsa kita yang amat mudah ditipu dan terpana dengan kemewahan. Suka berkereta besar (mewah) dan amat teruja untuk memiliki wang ringgit berkepuk-kepuk...!!!

Inilah bahananya apabila terlalu inginkan kemewahan kononnya dengan cara yang mudah dan senang 'tanpa menjual produk'. Kepada sahabat-sahabat yang terjerumus ke lembah hina ini, banyak-banyakkanlah bersabar dalam melangsaikan hutang pinjaman yang telah dibuat untuk melabur di dalam skim cepat kaya ini...

UMPAN KERETA MEWAH
Antara kereta mewah yang dirampas dalam
serbuan di Mentari Court, Bandar Sunway.

PETALING JAYA : Polis menumpaskan satu sindiket skim cepat kaya yang mensasarkan golongan muda berikutan penahanan 100 orang termasuk seorang wanita berusia 23 tahun, dipercayai dalang kumpulan itu.

Dalam serbuan di empat restoran di Mentari Court, Bandar Sunway di sini, kira-kira jam 11 malam kelmarin, polis turut merampas 17 kereta mewah termasuk Mercedes Benz, Nissan Fair Lady, BMW dan Mazda yang dijadikan umpan untuk menarik orang ramai menyertai skim itu.

Sindiket itu yang beroperasi sejak tiga tahun lalu, dipercayai mempunyai lebih 10,000 ahli membabitkan pelaburan berjuta ringgit sebulan. Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa, berkata sindiket itu menjadikan orang muda yang baru bekerja sebagai sasaran kerana golongan itu mempunyai keinginan tinggi terhadap kereta mewah.

Mereka juga mudah dipengaruhi supaya membuat pinjaman bagi melabur dalam skim itu, katanya ketika dihubungi, semalam. Rohaimi berkata, polis serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melancarkan "Operasi Serama" yang disertai 82 anggota termasuk JSJK Selangor selepas membuat risikan sejak tiga bulan lalu hasil aduan orang ramai.

Dalam serbuan itu, 100 upline skim itu berusia antara 20 hingga 30-an yang mengadakan pertemuan di empat restoran di Mentari Court, ditahan dan daripada jumlah itu 50 lelaki dan sembilan wanita direman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, sindiket itu menawarkan skim pelaburan antara RM2,000 hingga RM41,000 dengan ahli disyaratkan mencari 10 downline bagi mendapatkan pulangan modal, selain keuntungan lumayan setiap bulan.

Sindiket itu yang mempunyai tiga kumpulan - One Team @ Friends Club, Star Club, Family Club dan 8282 Club, juga berjanji membantu ahli mencari downline serta menguruskan pinjaman peribadi bagi membayar wang pelaburan.

Rohaimi berkata, kebanyakan mangsa menyedari ditipu selepas tidak menerima hasil pelaburan yang yang dijanjikan. Ada mangsa hanya mendapat kira-kira RM3,000 daripada RM41,000 pelaburan yang dibuat untuk bulan pertama, manakala bulan berikutnya mereka tidak mendapat sebarang pulangan.

Sindiket itu akan memberi pelbagai alasan kepada mangsa termasuk mendakwa mereka gagal mencari downline bagi memenuhi kuota diperlukan, katanya. Setakat ini, dua laporan polis dibuat berhubung kes itu, manakala kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menerima 30 laporan.

Sementara itu, seorang mangsa yang enggan dikenali, mendakwa mengalami kerugian sejumlah RM50,000 selepas membuat pinjaman peribadi bagi melabur dalam skim itu. Disebabkan ingin cepat kaya, saya tidak menghiraukan nasihat keluarga dan rakan-rakan, malah saya menganggap mereka berdengki dengan saya. Tanpa berfikir panjang dan menyiasat latar belakang syarikat itu, saya terus melabur.

Pada bulan pertama, saya mendapat RM3,000. Memang seronok mendapat imbuhan itu, tetapi kegembiraan itu tidak kekal apabila imbuhan yang dijanjikan tidak dimasukkan dalam akaun saya pada bulan berikutnya. Saya cuba menghubungi upline skim itu tetapi 1001 alasan diberikan dan selepas beberapa minggu, upline terbabit gagal dihubungi, katanya. - Berita Harian

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails