VVIP DENAI CINTA

31 Julai 2010

KEMPEN 10 JUTA TANDATANGAN BANTAH SAMAN EKOR

KUALA LUMPUR, 30 Julai : Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan menggerakkan satu kempen memungut sepuluh juta tandatangan rakyat bagi membantah tindakan kerajaan meneruskan saman ekor terhadap pengguna jalan raya. Menurut ketuanya, Nasruddin Hassan at-Tantawi, semua jentera pemuda seluruh negara akan dikerah bagi memastikan kempen tersebut sampai ke semua lapisan masyarakat.

"DPPP akan menggunakan seluruh keupayaan jentera kita di semua peringkat untuk mendapatkan sepuluh juta tandatangan rakyat yang tidak bersetuju dengan saman ekor," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata, tandatangan yang berjaya dikumpul akan dilampirkan bersama memorandum yang akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia.
"Kita akan lampirkan tandatangan yang dikumpul ini dengan memorandum yang akan kita serahkan kepada kerajaan atau kementerian terbabit," katanya lagi.

Beliau juga berkata, beberapa kain rentang akan dipasang di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan umum dan rakyat boleh menurunkan tandatangan mereka di situ.
DPPP juga akan bermesyuarat bagi menyelaraskan kempen berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pemuda agar mengambil perhatian dan bersiap sedia untuk menggerakkan kempen berkenaan.
"Mari sertai kempen ini dan saya harap semua pemuda di semua peringkat mengambil perhatian untuk tugas besar ini," katanya.

Beliau sebelum ini menyifatkan saman ekor sebagai 'ISA Kedua' kerana ia menyebabkan penerima notis saman terpaksa membayar saman tersebut tanpa mereka diberi peluang melalui proses pengadilan di mahkamah. - HARAKAHDAILY

2 ulasan:

manjeamusyuk berkata...

YESSS!!! SOKONG HABIS-HABISAN!!!!

ROHAIFI AZRI berkata...

sokongan dari salah seorang 'mangsa' saman ekor iaitu Cik Manjea... :-D

Related Posts with Thumbnails