VVIP DENAI CINTA

08 Jun 2010

SYAFIAH HUMAIRA : Ibu Rancang Kahwini Suspek. 'DIBUNUH KERANA SELIPAR'

Rancang Kahwini Suspek
SHAH ALAM : Mahkamah diberitahu bahawa ibu kepada Syafiah Humaira Sahari, 4, menjalinkan hubungan intim dengan pemandu teksi yang didakwa kerana membunuh kanak-kanak itu, sehingga melahirkan seorang anak luar nikah pada Julai 2008.

Siti Nurhanim Aziz, 25, berkata dia mula mengenali Mohd Fazli Azri Jamil, 28, pada 2004, tetapi sebagai teman biasa sebelum bertukar kepada teman lelaki pada 2006. Katanya, rentetan perkenalan itu, mereka juga sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga pada Oktober depan. Malah, katanya, hasrat murni itu sudah diberitahu kepada suaminya yang kini masih dalam tahanan penjara kerana kesalahan jenayah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Saya rapat dengan tertuduh pada 2006 kerana sudah sayang. Perasaan sayang ini bertujuan untuk berkahwin," katanya pada kes perbicaraan Syafiah Humaira. Teman lelakinya itu dituduh membunuh kanak-kanak itu di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali di sini, pada jam 6.30 petang, 25 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu, Mohd Fazli didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. - HARIAN METRO


KERANA SELIPAR

SHAH ALAM : Mahkamah Tinggi, semalam, diberitahu bahawa pemandu teksi yang dituduh membunuh Syafiah Humaira Sahari, 4, dilihat memijak perut dan menyepak bahu kiri seorang budak di padang Batu 30, dekat Batang Kali, pada petang 25 Februari lalu, hanya kerana kanak-kanak itu enggan memakai selipar.

Saksi pendakwaan keenam, Ahmad Fikrihalis Zakaria, 19, berkata dia melihat tertuduh , Mohd Fazli Azri Jamil, 28, berbuat demikian ketika melewati padang itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas terbabit dengan tugas menghias rumah sukan di sekolah.

Pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mashor itu berkata, Mohd Fazli yang dikenalinya dengan nama panggilan Mat menyuruh budak itu kembali bangun selepas terpelanting akibat disepak, tetapi kanak-kanak itu tidak berdaya berbuat demikian.

Katanya, melihat kejadian itu, dia kemudian menawarkan diri untuk mengangkat dan meletakkan kanak-kanak malang itu ke dalam teksi milik Mat dan sempat mendengar kanak-kanak itu mengeluh kerana sakit.

Dia berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes Mohd Fazli yang didakwa membunuh Syafiah Humaira di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali di sini, pada jam 6.30 petang, 25 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu, Mohd Fazli didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani, Halim Mohd Rashid dan Zureen Alina Mohd Dom manakala tertuduh diwakili peguam bela, Gurbachan Singh.

IDHAM : Apakah suasana ketika kamu tiba di padang itu pada petang 25 Februari?

AHMAD FIKRIHALIS : Ada budak bermain bola sepak.

IDHAM : Apabila kamu nampak Mat memijak perut seorang budak. Apakah tindakan kamu?

AHMAD FIKRIHALIS : Saya patah balik. Saya pergi ke padang.


IDHAM : Apa berlaku selepas itu?


AHMAD FIKRIHALIS : Mat nampak saya. Dia kata, kau pernah nampak budak kena terajang? Jarak antara kami ketika itu hanya kira-kira 10 meter.


IDHAM : Apa berlaku selepas itu?


AHMAD FIKRIHALIS : Saya berhentikan motosikal. Saya kata, apa ni Mat, dia budak kecil.


IDHAM : Selepas itu?


AHMAD FIKRIHALIS : Mat tidak cakap apa-apa, tetapi dia terus sepak bahu kiri budak itu.


IDHAM : Masa dia pijak perut, budak itu dalam keadaan macam mana?


AHMAD FIKRIHALIS : Ketika dia sepak budak itu, kanak-kanak itu duduk atas tanah dengan kaki lurus ke depan, manakala kedua-dua tangganya di belakang badan.

IDHAM : Macam mana tertuduh tendang budak itu?


AHMAD FIKRIHALIS : Dia tendang dengan cara yang amat kuat.

IDHAM : Apa jadi selepas dia tendang budak itu?


AHMAD FIKRIHALIS : Budak itu terpelanting ke belakang.


IDHAM : Apa reaksi budak itu?


AHMAD FIKRIHALIS : Dia tidak menangis.

IDHAM : Selepas tertuduh sepak dan budak itu terpelanting dia suruh budak itu bangun. Budak itu tak larat nak bangun. Mat jinjing tangan budak itu. Dia lepas (tangan). Budak itu jatuh balik.


AHMAD FIKRIHALIS : Selepas itu saya tanya kepada tertuduh, Apa hal ni Mat? Dia bagi alasan budak itu tak mahu pakai selipar.

IDHAM : Apa terjadi selepas itu?


AHMAD FIKRIHALIS : Saya katakan kepada tertuduh, biar saya angkat mangsa. Saya angkat budak itu, saya bawa dia ke dalam teksi milik Mat. Teksi itu ada di tepi padang.


IDHAM : Bagaimana kamu angkat budak itu.

AHMAD FIKRIHALIS : Saya angkat dengan menggunakan kedua-dua tangan saya dan dia sempat berkata kepada saya dia sakit.


Saksi kemudian berkata, tertuduh kelihatan marah apabila beberapa lelaki yang sedang bermain bola sepak menghampiri mereka untuk menghulurkan bantuan dan bergegas meninggalkan tempat kejadian dengan memandu teksinya itu.

Perbicaraan bersambung hari ini. - HARIAN METRO

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails