Selasa, 18 Mei 2010

JUDI BOLASEPAK : UMNO Hanya Bertopengkan Islam

KUALA LUMPUR, 17 Mei : Tindakan kerajaan pusat meluluskan lesen judi semasa kejohanan bolasepak Piala Dunia 2010 membuktikan bahawa Umno yang mendabik dada memperjuangkan Islam rupa-rupanya hanya bertopengkan Islam.

Dewan Ulamak PAS Pusat melalui satu kenyataan hari ini memberitahu, tindakan kerajaan atas alasan menyekat perjudian tanpa lesen itu juga turut memperlihatkan kedangkalan mereka dalam mengatasi isu tersebut. "Adakah memadai untuk menghalang kemudaratan dengan cara memberikan lesen untuk melakukan kemudaratan tersebut umpama ingin menghalang orang yang mencuri dengan memberikan lesen kepada mereka untuk mencuri."

"Kelulusan judi ini juga memperlihatkan bahawa kerajaan hanya bertopengkan Islam demi wang, politik dan kerakusan kuasa semata-mata," kenyataan itu dipetik. Mengulas lanjut, pihak kerajaan berkemungkinan tidak segan silu meluluskan lesen judi tersebut demi untuk mencapai matlamat MEB bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

Namun katanya, jika itulah yang berlaku, bermakna dasar pemerintahan negara ini adalah sekular melalui cabang pragmatisme dan bukannya Islam sebagaimana yang mereka uar-uarkan bahawa negara ini adalah negara Islam.

"Di hadapan masyarakat, mereka menzahirkan bahawa mereka inginkan Islam dengan menganjurkan pelbagai program keIslaman seperti forum, sambutan hari kebesaran Islam termasuk begitu vokal dalam isu larangan berpolitik dalam masjid tetapi dalam masa yang sama mereka tidak kisah untuk menghalalkan perkara yang haram di sisi Islam dengan memberikan alasan yang tidak logik," tegas kenyataan itu lagi.

Selain itu, mufti termasuk menteri di Jabatan Perdana Menteri turut dicabar menyatakan pendirian berhubung perkara ini dan tidak hanya berdiam diri. "Mereka tidak seharus vokal dalam isu yang memihak kepada kerajaan semata-mata tetapi menikus dalam isu yang merosakkan umat Islam demi menjaga jawatan dan kuasa semata-mata," katanya.

Pengertian halal katanya seolah olah dipermudahkan Umno BN dengan erti setiap yang berlesen itu adalah halal, manakala yang tidak berlesen adalah haram. Sedangkan Islam mempunyai garis panduan jelas berhubung perkara halal dan haram termasuklah judi.

"Halal bagi mereka adalah kegiatan yang berlesen, adapun haram adalah kegiatan yang tidak diberikan lesen oleh mereka. Islam Hadhari yang sebelum ini dijadikan sebagai topeng untuk mengekalkan kuasa kini tenggelam kerana slogan tersebut hanya memakan diri dan merugikan mereka," tambahnya lagi. Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat mendesak agar kerajaan menarik balik lesen yang diberikan kepada kumpulan Berjaya yang dimiliki Vincent Tan. - Harakahdaily

................................

RAHMAN : LESEN JUDI SUPAYA TAK BERLAKU PENIPUAN
15.05.2010 : Ahli parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan mempertahankan tindakan kerajaan membenarkan pertaruhan bolasepak Paiala Dunia 2010 ini. Katanya, tindakan berkenaan bertujuan untuk memantau pergerakkan pertaruhan sukan itu supaya tidak berlaku penipuan.

"Kita perlu praktikal. Jangan politikkan isu ini. Kerajaan tidak akan membenarkan permintaan yang baru.
" Rahman berkata selain tujuan memantau pertaruhan itu agar penipuan tidak berlaku, adalah lebih baik wang pertaruhan tidak disalurkan ke kumpulan kongsi gelap yang terbabit dengan pelbagai aktiviti haram lain. "Lagipun perjudian haram banyak melibatkan sindiket jenayah, jadi kami cuba untuk mengurangkan jenayah itu berlaku."

"Kenapa mesti berikan duit itu kepada underground yang mempunyai hubung kait dengan jenayah. Lebih baik kerajaan yang pantau agar penipuan tidak berlaku." Menurut pemimpin Umno itu yang dihubungi Malaysiakini, dengan pemberian lesen, syarikat terbabit akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang penyelewengan.

Selain itu, katanya, syarikat berkenaan juga tertakluk kepada bayaran cukai yang wangnya boleh digunakan untuk negara. "Bila mereka membayar cukai dan penipuan berlaku, mereka boleh dipertanggungjawabkan,'' katanya.

Rahman berkata meskipun lesen judi baru itu dikeluarkan, kerajaan tidak pernah mengabaikan pembangunan Islam. Katanya, pihak pembangkang sengaja mengeksploitasikan isu berkenaan bagi kepentingan politik mereka.

"Jika pembangkang nak marah, mereka sepatutnya marah kepada kerajaan Selangor, Pulau Pinang, Kedah yang masih membenarkan lesen premis judi seperti Sport Toto. Mereka sepatutnya menutup premis perjudian itu. Parti pembangkang ini hipokrit," katanya.

11 Mei lalu, Kementerian Kewangan secara rasminya memberi lesen judi berkenaan kepada Kumpulan BERJAYA. Sehubungan keputusan itu, pertaruhan secara sah boleh dilakukan sebelum kejohanan bolasepak Piala Dunia bermula pada 11 Jun ini. Sejak pengumuman itu dibuat, pelbagai pihak termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik, pertubuhan agama dan juga orang perseorangan membidas tindakan kerajaan itu. - Malaysiakini

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Apabila Rakyat Bersuara!!!

Apabila Rakyat Bersuara!!!
HIMPUNAN AMAN MANSUH I.S.A 1 OGOS '09

Tok Guru Dalam Filem Pendek 'The Tree'