VVIP DENAI CINTA

06 April 2010

KEJAM : PEROMPAK NEKAD TEMBAK RAKAN!!!

Manusia semakin kejam dan jenayah semakin menjadi-jadi. Harap pihak berkuasa dapat meningkatkan kawalan serta penguatkuasaan agar kes-kes jenayah seperti curi, samun, rompak, bunuh, rogol dapat dibendung dari terus berleluasa.

Dalam kes perompak yang nekad membunuh rakannya ni, macam filem Hollywood ar plak. Sanggup bunuh rakan, semata-mata bimbang identiti terbongkar. Memang kejam sape-sape yang dapat kawan cenggini. Renung-renungkan dan kenali siapa kawan kita...

..........................


KUALA LUMPUR : Seorang perompak bertindak nekad menembak mati rakannya yang cedera terkena tembakan pengawal keselamatan dalam satu rompakan kedai emas di Wisma OUG, Jalan Klang Lama di sini, semalam

Polis percaya perompak itu bertindak demikian kerana bimbang rakannya yang cedera akan ditahan polis dan identitinya terdedah. Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, seorang pengawal keselamatan juga cedera selepas dibelasah perompak terbabit yang turut merampas senapang patahnya.

Mereka yang menaiki motosikal dikatakan memasuki premis itu melalui pintu depan dan menyerang pengawal yang berkawal di situ sebelum meluru masuk dan mengacukan senjata ke arah empat pekerja.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata kedua-dua suspek itu kemudian mengarahkan pekerja terbabit memasukkan semua barangan kemas ke dalam beg galas yang dibawa mereka. "Bagaimanapun, suspek tidak menyedari ada seorang lagi pengawal keselamatan bersenjatakan senapang patah bersembunyi di dalam sebuah bilik khas di bahagian dalam kedai yang tidak boleh dilihat dari luar."

"Pengawal terbabit meluru keluar biliknya dan melepaskan tembakan ketika mereka sibuk memunggah barang kemas. Tembakan itu kena tepat bahagian perut dan rusuk salah seorang suspek. Mereka yang terkejut dengan tindakan pengawal itu cuba melarikan diri bersama barang kemas bernilai hampir RM500,000," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bagaimanapun, ketika melarikan diri, suspek yang terkena tembakan terjatuh di atas lantai sebuah restoran makanan segera berhampiran. "Ada saksi melihat seorang suspek kemudian melepaskan dua das tembakan ke arah rakannya yang tersungkur di atas lantai sebelum melarikan diri menaiki motosikal yang diletakkan di luar pasar raya itu."

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan suspek itu merampas beg berisi barang kemas yang dipegang rakannya sebelum melarikan diri," katanya. Beliau berkata, pemeriksaan polis mendapati suspek yang ditembak mati itu berusia 34 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun dan penyalahgunaan dadah.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails