VVIP DENAI CINTA

18 Mac 2010

WARTAWAN HIBURAN LAPOR POLIS

KUALA LUMPUR : Beberapa wartawan hiburan, semalam tampil membuat laporan polis mengenai kenyataan berbentuk penghinaan dan ugutan dalam sebuah laman web sosial, Facebook yang dipaparkan individu yang menggunakan laman sembang yang dikenali sebagai "all entertainment reporters in Malaysia sucks". Dalam laman sembang itu, turut dimuatkan hampir 30 gambar wartawan hiburan termasuk jurugambar dari pelbagai agensi, selain dikutuk dengan pelbagai kata-kata kesat .

Laporan polis itu dibuat wartawan hiburan televisyen RTM, Siti Nor Hafiza Kamaruddin ditemani kira-kira 20 wartawan lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kira-kira jam 12.00 tengah hari. Bercakap kepada pemberita, Siti Nor Hafiza berkata, laporan itu dibuat kerana kerjaya mereka sebagai pengamal media diperlekeh dan perbuatan itu boleh menjejaskan reputasi mereka apabila ratusan pengunjung laman berkenaan memberikan pelbagai komen negatif.

Katanya, antara kenyataan yang dimuatkan dalam laman web berkenaan ialah "semua wartawan hiburan di Malaysia jalang dan bodoh," selain "aku kenal kamu kerja mana, jaga-jaga, tolong hentikan daripada menyiarkan laporan bodoh, kalau tidak..."


"Saya percaya laman web berkenaan sudah lama dibangunkan dipercayai pihak yang tidak puas hati terhadap hasil kerja kami kerana sehingga kini laman terbabit sudah mempunyai ratusan pengunjung. Bagaimanapun, saya hanya menyedarinya Isnin lalu kira-kira jam empat petang selepas dimaklumkan rakan."


"Lebih menyedihkan apabila gambar kami diletakkan di laman berkenaan sambil diejek dan diberi pelbagai gelaran seolah-olah kerja yang kami lakukan menjijikkan," katanya di sini, semalam.
Siti Nor Hafiza, berkata beliau berharap pihak polis memandang serius dan memantau laman web berkenaan supaya individu yang mewujudkan laman terbabit dikenakan hukuman setimpal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan pihaknya akan memantau laman web yang didakwa itu.

SUMBER - BERITA HARIAN

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails