VVIP DENAI CINTA

14 November 2009

Filem / Dokumentari Muzikal : KENANGAN TERAKHIR JACKO

BERITA HARIAN
Peminat Micheal Jackson berpeluang menonton aksi Raja Pop dalam This Is It.
Empat bulan selepas pemergian Raja Pop Dunia, Michael Jackson atau Jacko, peminat kini berpeluang mendekati detik akhir perjuangannya menerusi rakaman siri latihan sebagai persediaan untuk siri konsert terakhirnya, This Is It. Berita pemergiannya pada 25 Jun lalu pada usia 50 tahun turut memusnahkan impian penggemarnya untuk menonton siri 50 konsert yang direncanakan bermula di O2 Arena, London Julai lalu.


Apa yang bersisa kini cuma potongan rakaman dokumentasi Jacko bersama krew konsert itu berlatih sebagai persediaan konsert penting itu. Rakaman latihan itu sebenarnya bertujuan memberi ruang kepada penganjur menilai semula mutu persembahan dan memperbaikinya sebelum konsert bermula tanpa sekelumit hasrat dipertontonkan kepada khalayak.

Bagaimanapun, sebaik Sony Pictures menonton rakaman babak itu beberapa minit, mereka tertarik untuk membelinya lalu menghidangkan kepada dunia mengenai ‘konsert yang tidak menjadi kenyataan’. Pemergian Jacko mencetuskan idea kepada mereka untuk merangkai potongan rakaman itu menjadi filem cereka yang membawa peminat untuk bersama tenggelam dalam kecintaan penyanyi itu terhadap muzik dan seni persembahan.

This Is It tidak sekadar memberi peluang kepada peminat Jacko mendekati hari terakhir idola mereka, bahkan melihat kerja kerasnya untuk kekal unggul sebagai raja dunia hiburan. Daripada rakaman video yang memakan masa 100 jam itu mencakupi proses latihan dan persiapan menjelang konsert This Is It, sutradara Kenny Ortega membentuknya menjadi dokumentasi menarik. Menontonnya membuai penonton untuk merasai seakan Raja Pop Dunia itu masih bernafas.

Pembikinan filem ini pastinya tidak melalui jalan mudah kerana produksinya dihasilkan tanpa perancangan teliti. Bagaimanapun, Kenny mampu menjadikannya penghasilan istimewa serta menarik ditonton. This Is It tidak hanya membentangkan rakaman balik tabir penampilan Jacko di pentas, sebaliknya mendedahkan kepada khalayak siapa dirinya sebenar serta ketelitiannya menghasilkan produksi sempurna.

  • Filem : This Is It
  • Pengarah : Kenny Ortega
  • Pelakon : Michael Jackson
  • Genre : Dokumentari Muzikal
  • Tarikh Tayangan : 29 Oktober 2009

SATU DOKUMENTARI MUZIKAL YANG TIDAK WAJAR DILEPASKAN OLEH PARA PEMINAT MJ. SEGERALAH KE PAWAGAM BERHAMPIRAN KERANA TAYANGANNYA TELAH SAMPAI KE PENGHUJUNG. MENYAKSIKAN MJ DILAYAR BESAR LEBIH MEMBERIKAN KEPUASAN!!!

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails