VVIP DENAI CINTA

14 November 2009

Filem : 2012


TSUNAMI CGI myMetro

Menyentuh soal aksi, paparan bumi dibelah, gempa hebat, ribut kuat, gunung yang memuntahkan laharnya serta tsunami gergasi yang melanda sehingga menutupi hampir keseluruhan muka bumi sesuatu yang menakjubkan untuk dipaparkan di layar lebar.

Bayangkan saja, tsunami gergasi yang mampu menutupi keseluruhan tanah tinggi di dunia ini serta tanah merekah akibat gempa kemudian turut memuntahkan larva berapi menjadi antara babak yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

Tidak cukup dengan itu, aksi di mana kapal perang Amerika Syarikat (AS) diterbalikkan dan dihanyutkan tsunami berkenaan juga antara yang menarik untuk ditonton. Pendek kata, babak-babak aksi dalam filem ini bakal mengujakan anda lebih-lebih lagi kebanyakannya berada di luar imaginasi kita.

Tambah menarik, selain arahan mantap Emmerich, barisan pelakon utama seperti Amanda Peet, Chiwetel Ejiofor, Danny Glover dan John Cusack turut merealisasikan filem bencana alam terhebat dalam sejarah pembikinan filem ini. Setiap peranan dibawa dengan penghayatan dan terperinci. Malah, dalam filem ini juga perbezaan watak antara antagonis dan protagonis turut mewujudkan ‘drama’ tersendiri.

Menyentuh pula mengenai jalinan cerita, barangkali ada yang beranggapan ia sedikit karut. Namun, untuk paparan di layar lebar, tidak ada yang mustahil lebih-lebih lagi sekadar hiburan semata-mata. Pada awal tayangan, penonton dibawa menyelami kisah mengenai dua lelaki berbeza. Malah, setiap satunya berlainan identiti dan tidak pernah mempunyai hubungan sebelum ini.

Bagaimanapun, dua watak ini disatukan di pengakhiran cerita dek kerana bencana yang melanda. Si pemandu cuba menyelamatkan keluarganya manakala saintis pula berusaha menyelamatkan manusia daripada ditelan bencana alam berkenaan ke dalam sebuah kapal canggih yang dibina kerajaan AS secara sembunyi.

Di pengakhiran babak ini, penonton mungkin akan berasa sedikit kecewa apabila cerita yang dipaparkan sama seperti kisah Nabi Nuh a.s. ketika cuba menyelamatkan kaumnya daripada ditelan banjir besar. Cuma kali ini, semuanya dirakamkan dalam bentuk yang lebih moden. Kapal canggih dibina bagi menghadapi bencana berkenaan malah untuk mengekalkan populasi kehidupan, pelbagai jenis binatang turut diselamatkan. Barangkali, apabila menyentuh filem berkonsepkan bencana alam, mungkin sudah tiada lagi idea baru untuk diketengahkan selain memperbaharui 'versi' Nabi Nuh a.s. berkenaan.

  • Filem : 2012
  • Pengarah : Roland Emmerich
  • Pelakon : Amanda Peet, Chiwetel Ejiofor, Danny Glover dan John Cusack
  • Genre : Aksi / Sains Fiksyen
  • Tarikh Tayangan : 12 November 2009


Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails