VVIP DENAI CINTA

30 September 2009

KIDS BELT : Apakah ia benar-benar satu keperluan???

KIDS BELT mungkin masih belum digunakan secara meluas oleh ibubapa dan penjaga di Malaysia.
APAKAH PANDANGAN SERTA KOMEN ANDA TENTANG PENGGUNAANNYA???


Mungkin ia sesuai digunakan untuk memudahkan mengawal anak yang 'hyper' aktif. Tetapi ia juga bakal menjadi satu 'jalan mudah' untuk ibubapa yang akan turut MENAMBAT anak-anak mereka walaupun anaknya tu tak 'hyper' aktif pun...!















CARTA TOP 5 KANTOI : Cara penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)

Lihatlah betapa gigihnya usaha-usaha pendatang-pendatang asing ini untuk menyeludup masuk. Walau segigih dan sekreatif mana sekalipun corak mereka untuk menyusup masuk, namun ada juga yang terkantoi. Sedih jugak tengok pengalaman diorang ni, tapi pada masa yang sama rasa nak tergelak pun ada coz diorang ni memang betul-betul nekad dan ada juga yang terlebih kreatif untuk menyeludup masuk...



Kita sama-sama lihat CARTA TOP 5 KANTOI IMIGRAN INI UNTUK MENYELUDUP MASUK :


TEMPAT KE-5

Kantoi nyorok dalam bag, cuba lagi!



TEMPAT KE-4

Ambik kau!!! Dalam dashboarb pun jadik!!!



TEMPAT KE-3

Wahhh...! Belakang kusyen!



TEMPAT KE-2

Mamat ni pakai ilmu kebal ke ape.
Jenis kulit buaya dan kura-kura agaknye boleh dok lam enjin ni. Huh!!!




BEST OF THE BEST TAPI TETAP KANTOI.....!!!!!

Spesies Tranformers ke ape mamat dua orang ni.
Bertukar menjadi seat ar plak... Muahahahahaaa....!



Apapun, gambar-gambar ni bukan berlaku di Malaysia kalo dilihat berdasarkan kedudukan stereng kereta yang menggunakan sistem pemanduan kiri. Ambil iktibar, betapa susahnya pendatang asing ni untuk menyusup masuk ke negara luar demi mencari 'sesuap rejeki'...

alahai abe azwe ali...

Alhamdulillah, artis kontroversi Azwan Ali dah selamat kembali dari mengerjakan ibadah Umrah di Tanah Suci. Kalau dilihat tulisan terbaru 'si laser' ni dalam blognya, memang diakui telah ada perubahan dalam bahasa yang digunakan.

Tetapi aura keegoan dan 'kekoyaan' tu tetap ada dan Azwan Ali perlu buktikan bahawa dia bukan lagi Azwan Ali yang dulu. Dan usahlah terlalu menceritakan sangat perihal ibadah-ibadah yang telah dilakukan di Tanah Suci. Bimbang ia akan menerbitkan perasaan riak dan mahu membangga diri. Terkilan jugak bila dia telah membahasakan dirinya sebagai 'HAJI' Azwan Ali. Orang yang pergi menunaikan Fardhu Haji di Makkah pun ada yang tidak meletakkan pangkal HAJI di awal namanya, bimbang timbul perasaan 'bangga diri' yang akan merosakkan amalan yang dilaksanakan sepanjang di Tanah Suci. -wallahu a'lam-





29 September 2009

FILEM BRUNO DIHARAMKAN DI MALAYSIA

Filem Bruno, terbitan Universal Picture Production diharamkan penayangannya di Malaysia kerana ia didapati mengandungi adegan dan kata bual lucah. Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan hari ini berkata hasil penelitian dan semakan Lembaga Penapis Filem (LPF) mendapati filem itu tidak melepasi etika budaya dan amalan hidup masyarakat di negara ini.


26 September 2009

POSTER FILEM INDONESIA YANG MENCIPLAK POSTER FILEM LAIN!!!

poster-1


poster-2


PEGUAM MANOHARA TARIK DIRI KES SAMAN RM105juta!!!

MALAYSIAKINI.COM
25 SEPTEMBER 2009 - Firma guaman yang dilantik isteri dan ibu mentua Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra bagi mewakili mereka dalam kes saman fitnah, menfailkan permohonan untuk menarik diri menjadi peguam cara kepada mereka berdua.

Tetuan Fakrul Hisham Abdullah & Associates dalam permohonan saman dalam kamar juga memohon perintah mahkamah supaya semua prosiding writ saman yang dikemukakan Tengku Fakhry terhadap ibu mentuanya Daisy Fajarina dan isterinya Manohara Odelia Pinot digantung sementara, sehingga pendengaran dan keputusan permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur selesai. Tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar permohonan itu.

Turut disertakan dalam permohonan itu yang difailkan pada 9 Sept lepas di Mahkamah Tinggi Sivil ialah afidavit sokongan peguam Fakrul Rizal Abdul Manaf yang dilantik Daisy dan Manohara bagi mewakili mereka dalam kes saman fitnah RM105 juta yang difailkan Tengku Fakhry pada 20 Julai lepas.

Fakrul Rizal dalam afidavit sokongan yang diikrarkan pada 8 Sept lepas berkata bahawa Daisy dan Manohara telah melantik Faiz Adnan & Associates yang beralamat di Jalan Abdullah Off Jalan Bangsar dan Farhat Abbas & Rekan, pengacara dari Jakarta sebagai pengantara antara Tetuan Fakrul Hisham dan Daisy serta Manohara.

"Saya menegaskan defendan-defendan (Daisy dan Manohara) telah memberikan arahan bahawa apa-apa dokumen, pertanyaan, arahan atau permintaan daripada pihak kami hendaklah dibuat melalui pengantara tersebut," katanya.

Fakrul Rizal berkata bahawa Daisy dan Manohara telah memberi arahan kepada pengantara berkenaan bahawa mereka tidak akan datang ke negara ini untuk sebarang perbincangan di antara Tetuan Fakrul Hisham dan mereka. Beliau berkata bahawa tanpa arahan terus dan jelas daripada Daisy dan Manohara, beliau tidak dapat meneruskan sebarang tindakan terhadap mereka.

"Arahan yang diterima melalui pengantara tersebut tidak jelas dan tidak dapat dipastikan kesahannya yang boleh menjadikan setiap fakta yang diberikan oleh mereka melalui pengantara itu sebagai dengar cakap," katanya.

Fakrul Rizal berkata tindakan Daisy dan Manohara menggunakan pengantara berkenaan untuk berurusan dengan pihaknya menyebabkan firma guaman itu tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Daisy dan Manohara dan menyukarkan untuk membuat persediaan dokumen berkaitan kes itu.

Semalam, peguam Mohd Haaziq Pillay, yang mewakili Tengku Fakhry, berkata walaupun hampir sebulan diserahkan writ saman fitnah itu Daisy dan Manohara masih tidak memfailkan penyataan pembelaan bagi menjawab pernyataan tuntutan yang dikemukakan anakanda Sultan Kelantan itu.

Tengku Fakhry dalam pernyataan tuntutannya mendakwa pihak defendan telah secara palsu dan niat jahat melafazkan perkataan yang bersifat umpatan dan fitnah mengenai dakwaan penderaan seksual terhadap Manohara, semasa sidang akhbar antara April sehingga Jun lalu.

Ketika dihubungi hari ini Mohd Haaziq berkata sekiranya, Daisy dan Manohara masih tidak memasukkan pernyataan pembelaan, pihaknya akan memohon perintah mahkamah bagi mendapatkan penghakiman ingkar. BERNAMA

17 September 2009

WANITA LEBIH RAMAI DI NERAKA : hindari tabiat ini!!!

Sebagai peringatan untuk para wanita dipaparkan suatu peristiwa di suatu Aidilfitri, seorang wakil telah dilantik dari kaum wanita untuk bertemu dengan Rasulullah SAW untuk meminta baginda SAW memberi ucapan khusus untuk kaum wanita. Baginda bersetuju dan menyuruh mereka berkumpul di Baabun Nisaa'. Setelah kaum wanita berkumpul, Bilal pergi memanggil Rasulullah SAW. Baginda pun pergi ke sana, dan memberi salam dan memberi tazkirah seperti berikut :


“Assalamu'alaikum, wahai kumpulan / kaum wanita. Wahai kaum wanita, aku lihat kamu ini lebih banyak di neraka.” Seorang wanita lalu bangun bertanya, “Apakah yang menyebabkan yang demikian? Adakah sebab kami ini kufur?” Rasulullah SAW menjawab, “Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada 2 TABIAT KAMU YANG TIDAK ELOK yang boleh menjerumuskan kamu ke dalam neraka” :


1. KAMU BANYAK MENGUTUK / MENYUMPAH

2. KAMU KUFURKAN KEBAIKAN SUAMI.


Kemudian baginda SAW mengingatkan supaya :

1. BANYAK BERISTIGHFAR

2. BANYAK BERSEDEKAH.



KETERANGAN:

Yang dimaksudkan dengan mengutuk / menyumpah ialah seperti contoh di bawah:


CONTOH 1

Katakan kita lama menunggu bas. Tetapi bas masih tak kunjung tiba, akibat geram dan marah kita mungkin berkata, “Driver bas ni dah mampus agaknya.” Perkataan mampus itu termasuk dalam erti kata menyumpah. Lisan wanita memang terlalu cepat menyumpah. Kadang-kadang pakaian, perkakas rumah, hatta suami pun kena sumpah.


CONTOH 2

Tengah memasak gas habis. Kita mungkin berkata “Celaka punya gas. Masa ni jugak nak habis.” Yang dimaksudkan kufur di sini bukan kufur I'tiqad tetapi bererti tidak mengiktiraf Kebaikan di sini bermaksud tanggungjawab yang telah ditunaikan oleh suami.


Berkaitan dengan hal ini, Rasulullah SAW bersabda, “Tidakkah pernah engkau jumpa, seorang isteri, jika seumur hidup engkau, engkau berbuat baik kepadanya, tetapi di suatu ketika, disebabkan dia tidak mendapat sesuatu yang dia kehendaki, maka dia akan berkata, AWAK NI, SAYA TAK NAMPAK SATU PUN KEBAIKAN AWAK.” (Terjemahan langsung dari bahasa Arab)


Dalam masyarakat kita kata-kata di atas mungkin boleh dikaitkan dengan perkataan seperti berikut: “SELAMA HIDUP DENGAN AWAK, APA YANG SAYA DAPAT??? TAK GUNA SESEN PUN...”


Rasulullah SAW sambung lagi, Mana-mana isteri yang berkata, “AWAK NI, SAYA TAK NAMPAK SATU PUN KEBAIKAN AWAK,” maka akan gugur pahala-pahala amalannya. Saranan Rasulullah SAW yang seterusnya ialah menyuruh kaum wanita BANYAK BERISTIGHFAR dan BERSEDEKAH, kerana ia dapat menyelamatkan kita dari 2 perkara yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka seperti yang disebutkan tadi.


FADHILAT BERISTIGHFAR :


a. Sabda Rasulullah SAW : “SIAPA YANG MELAZIMKAN AMALAN ISTIGHFAR 70 KALI SEHARI, DIA TIDAK AKAN DITULIS SEBAGAI ORANG YANG PELUPA (NYANYUK).”


Sebelum nyanyuk di hari tua, amalkan sejak muda-muda lagi. Rasulullah SAW menganjurkan kita beristighfar 70 atau 100 kali sehari. Baginda sendiri melakukannya lebih dari 100 kali sehari. Adalah diingatkan untuk mencapai target ini, eloklah kita menjadualkan amalan zikir ini dalam amalan-amalan harian kita.


b. Sabda Rasulullah SAW : “Siapa yang melazimkan amalan istighfar, akan dikeluarkan Allah dari sifat ham dan hazan. Sifat ham bererti GELISAH yang tidak menentu yang sering melanda kaum wanita. Sifat hazan bererti BERDUKACITA.”


c. Istighfar juga memurahkan rezeki. Jangan dianggap rezeki itu hanya dalam bentuk wang ringgit atau harta benda. Tetapi ia juga termasuk kesihatan, umur, kasih sayang dan anak-anak.

SEDEKAH tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit. Sedekah juga termasuk:


1. Tuturkata / percakapan yang baik.

Yang paling utama ialah terhadap keluarga sendiri. Ertinya tidak menyakitkan hati. Inilah rahsianya bagaimana hendak menambat hati suami. Diriwayatkan, Saidatina Khadijah ra, isteri Rasulullah SAW yang pertama, tidak pernah menyinggung hati Rasulullah walau sedikit pun. Sepanjang hayat baginda SAW, hati baginda dipenuhi dengan Khadijah, sehingga sering menyebut nama beliau. Kadangkala hingga menimbulkan perasaan cemburu di kalangan isteri-isteri baginda.


Diriwayatkan juga, Jibril as setiap kali selepas memberi wahyu kepada Rasulullah sebelum meminta diri, selalu mengirim salam kepada Khadijah. Suatu hari Rasulullah SAW telah kepada Jibril as, dan jawab Jibril, “Khadijahlah satu-satunya perempuan yang Allah SWT berkenan tuturkatanya.”


2. Memberi salam.


3. Memaniskan wajah. Juga terutamanya kepada ahli keluarga. Rasulullah SAW pernah bersabda, “Kamu senyum sahaja pun sudah menjadi sedekah.” Terdapat juga suatu syair Arab yang berbunyi : “Nak buat baik, sangatlah mudah, maniskan wajah, lembutkan lidah.”


Maka setelah diberi peringatan oleh Rasulullah SAW marilah kita bertafakur dan memuhasabah diri kita. Sekiranya terdapat sifat-sifat buruk yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka, maka eloklah kita mengubah sikap kita dari sekarang.


Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud : “Apabila matinya seorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu SEDEKAH JARIAHNYA, ILMU YANG MEMBERI MANFAAT KEPADA ORANG LAIN DAN ANAK SOLEH YANG MENDOAKAN UNTUKNYA.” (Hadith Sahih : Riwayat Muslim)

13 September 2009

AMALAN SUNNAH DI AIDILFITRI

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus (Artikel ini diringkaskan dari buku MENYAMBUT RAMADAN & AIDILFITRI MENURUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W. terbitan Karya Bestari)

Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T: "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu." - Surah al-Maaidah: 3.

Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini. Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa). Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambut ketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.


BERTAKBIR

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:

"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah:185.

Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:

"Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini." – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32

Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.


LAFAZ UCAPAN SELAMAT PADA HARI RAYA AIDILFITRI

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.


MENERUSKAN QIAMULLAIL

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.


MANDI PADA PAGI HARI RAYA

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:

"Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri." - Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.


MAKAN SEBELUM SOLAT AIDILFITRI

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:

"Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini." - Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.

Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.

Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.


MEMAKAI PAKAIAN YANG INDAH

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:

"Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian." – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:

"Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan." – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina." - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.


BERJALAN KAKI MENUJU KE TEMPAT DIKERJAKAN SOLAT HARI RAYA

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:

"Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.

Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.


MENGIKUT JALAN YANG BERBEZA KETIKA PERGI DAN KEMBALI DARI MENUNAIKAN SOLAT HARI RAYA.

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:

"Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:

"Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya." - Rujuk Zaadul Ma'ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.


TEMPAT PERLAKSANAAN SOLAT HARI RAYA

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:

"Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:

"Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka." – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.


SOLAT SUNAT AIDILFITRI

Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.

Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:

"Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:

"Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.


BERGEMBIRA DI AIDILFITRI

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:

"Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati." – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

"Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.


PUASA SUNAT 6 HARI DALAM BULAN SYAWAL

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.


PENUTUP

Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.

04 September 2009

SITI TAK PUAS...

Suami saya adalah seorang jurutera, saya mencintai sifatnya yang semulajadi dan saya menyukai perasaan hangat yang muncul di hati saya ketika bersandar di bahunya.

3 tahun dalam masa perkenalan dan 2 tahun dalam masa pernikahan, saya harus akui, bahawa saya mulai merasa letih.. mulai merasa lelah, alasan-alasan saya mencintainya dulu telah berubah menjadi sesuatu yang menjemukan. Saya seorang wanita yang sentimental dan benar-benar sensitif serta berperasaan halus.

Saya merindui saat-saat romantis seperti seorang anak kecil yang sentiasa mengharapkan belaian ayah dan ibunya. Tetapi, semua itu tidak pernah saya perolehi. Suami saya jauh berbeza dari yang saya harapkan. Rasa sensitifnya kurang. Dan ketidak-mampuannya dalam menciptakan suasana yang romantis dalam perkahwinan kami telah mematahkan semua harapan saya terhadap cinta yang ideal.

Suatu hari, saya beranikan diri untuk mengatakan keputusan saya kepadanya, bahawa saya inginkan penceraian. "Mengapa?" Dia bertanya dengan nada terkejut.

"Siti letih, abang tidak pernah cuba memberikan cinta yang saya inginkan." Dia diam dan termenung sepanjang malam di depan komputernya, nampak seolah-olah sedang mengerjakan sesuatu, padahal tidak.

Kekecewaan saya semakin bertambah, seorang lelaki yang tidak dapat mengekspresikan perasaannya, apalagi yang boleh saya harapkan daripadanya? Dan akhirnya dia bertanya. “Apa yang abang boleh lakukan untuk mengubah fikiran Siti?" Saya merenung matanya dalam-dalam dan menjawab dengan perlahan.

"Siti ada 1 soalan, kalau abang temui jawapannya di dalam hati Siti, Siti akan mengubah fikiran Siti. Seandainya Siti menyukai sekuntum bunga cantik yang ada di tebing gunung dan kita berdua tahu jika abang memanjat gunung-gunung itu, abang akan mati. Apakah yang abang akan lakukan untuk Siti?"

Dia termenung dan akhirnya berkata, "Abang akan memberikan jawapannya esok." Hati saya terus gundah mendengar responnya itu.

Keesokan paginya, dia tidak ada di rumah, dan saya menemui selembar kertas dengan coretan tangannya di bawah sebiji gelas yang berisi susu hangat yang bertuliskan...

“SAYANGKU, ABANG TIDAK AKAN MENGAMBIL BUNGA ITU UNTUKMU, TETAPI IZINKAN ABANG UNTUK MENJELASKAN ALASANNYA.” Kalimah pertama itu menghancurkan hati saya. Namun, saya masih terus ingin membacanya.

“Siti boleh membuka dan mengendalikan komputer dan selalu mengusik program di dalamnya dan akhirnya menangis di depan monitor, abang harus memberikan jari-jari abang supaya boleh membantu siti untuk memperbaiki program tersebut.”

“Siti selalu lupa membawa kunci rumah ketika Siti keluar, dan abang harus memberikan kaki abang supaya boleh menendang pintu, dan membuka pintu untuk Siti ketika pulang.”

“Siti suka jalan-jalan di shopping kompleks tetapi selalu tersasar dan ada ketikanya sesat di tempat-tempat baru yang Siti kunjungi, abang harus mencari Siti dari satu lot kedai ke satu lot kedai yang lain mencarimu dan membawa Siti pulang ke rumah.”

“Siti selalu sengal-sengal badan sewaktu 'teman baik' Siti datang setiap bulan, dan abang harus memberikan tangan abang untuk memicit dan mengurut kaki Siti yang sengal itu.”

“Siti lebih suka duduk di rumah, dan abang selalu risau Siti akan menjadi 'pelik'. Dan abang harus membelikan sesuatu yang dapat menghiburkan Siti di rumah atau meminjamkan lidah abang untuk menceritakan hal-hal kelakar yang abang alami.”

“Siti selalu menatap komputer, membaca buku dan itu tidak baik untuk kesihatan mata Siti, abang harus menjaga mata abang agar ketika kita tua nanti, abang dapat menolong mengguntingkan kukumu dan memandikanmu.”

“Tangan abang akan memegang tangan Siti, membimbing menelusuri pantai, menikmati matahari pagi dan pasir yang indah. Menceritakan warna-warna bunga yang bersinar dan indah seperti cantiknya wajahmu.”

“Tetapi sayangku, abang tidak akan mengambil bunga itu untuk mati. Kerana, abang tidak sanggup melihat airmatamu mengalir menangisi kematian abang.”

“Sayangku, abang tahu, ada ramai orang yang boleh mencintaimu lebih daripada abang mencintai Siti.”

“Untuk itu sayang, jika semua yang telah diberikan oleh tangan, kaki, mata abang tidak cukup bagi Siti. Abang tidak akan menahan diri Siti mencari tangan, kaki dan mata lain yang dapat membahagiakan Siti.”

Airmata saya jatuh ke atas tulisannya dan membuatkan tintanya menjadi kabur, tetapi saya tetap berusaha untuk terus membacanya lagi.

“Dan sekarang, Siti telah selesai membaca jawapan Abang. Jika Siti puas hati dengan semua jawapan ini, dan tetap inginkan Abang tinggal di rumah ini, tolong bukakan pintu rumah kita, Abang sekarang sedang berdiri di luar sana menunggu jawapan Siti.”

“Puaskah Siti sayangku...?”

“Jika Siti tidak puas hati, sayangku... biarkan abang masuk untuk mengemaskan barang-barang abang, dan abang tidak akan menyulitkan hidupmu. Percayalah, bahagia abang bila Siti bahagia.”

Saya terpegun. Segera mata memandang pintu yang terkatup rapat. Lalu saya segera berlari membukakan pintu dan melihatnya berdiri di depan pintu dengan wajah gusar sambil tangannya memegang susu dan roti kesukaan saya.

Oh! Kini saya tahu, tidak ada orang yang pernah mencintai saya lebih dari dia mencintai saya. Itulah cinta, di saat kita merasa cinta itu telah beransur-ansur hilang dari hati kita kerana kita merasa dia tidak dapat memberikan cinta dalam 'kewujudan' yang kita inginkan, maka cinta itu telah hadir dalam 'kewujudan' yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini.



Petikan dari sebuah majalah sekitar tahun 2004. Semoga ia menjadi pedoman dan iktibar buat insan-insan yang bergelar suami dan isteri. Semoga ia memberikan manfaat buat kita semua. InsyaAllah.

Related Posts with Thumbnails